DALAM persiapan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi, mereka tampak yakin untuk mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang dan Selangor biarpun hakikatnya mereka kini berdepan penentangan blok politik baharu selain faktor pergeseran dalaman yang semakin membarah.

Keterujaan mereka untuk menumbangkan terus Barisan Nasional (BN) bukan sahaja terlihat di kedua-dua negeri yang sudah dikuasai ini, bahkan perkara itu turut terzahir di beberapa negeri yang lain terutamanya Johor dan Kedah. Ketika DAP mengintai untuk menambah penguasaan mereka di Johor dan PPBM juga tekad hadir sebagai alternatif kepada UMNO di negeri itu, parti yang ditunjangi bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu juga sedang bergerak dengan matlamat dan objektif yang sama di Kedah.

Perbalahan PKR-DAP, AMANAH

Namun dalam keterujaan pakatan tersebut, situasi yang berlaku mutakhir ini di Selangor mempamerkan keadaan yang sebaliknya apabila parti-parti komponen PH terus bertelagah mengenai isu pembahagian kerusi dan kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua kerajaan dan pengerusi PH negeri. Setelah AMANAH Selangor menggelar Azmin sebagai badut baru-baru ini seperti yang dinyatakan oleh pengerusinya Izham Hashim, kenyataan itu ‘disambut’ pula oleh DAP melalui salah seorang pemimpinnya, Ronnie Liu yang secara terang-terangan mempersoalkan kelayakan Azmin sebagai menteri besar dan pengerusi PH Selangor.

Maka apabila kedua-dua parti itu secara serentak menyerang Azmin, mereka juga secara langsung menyerang PKR sebagai sebuah parti. Mana tidaknya, Azmin adalah pemimpin kedua tertinggi parti selepas Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Tidak hairanlah Izham dan Ronnie sendiri diserang balas secara bertubi-tubi kembali oleh beberapa pemimpin PKR yang lain sehingga mereka digelar kurang ajar dan tidak mempunyai rasa hormat. Dari itu muncul pula Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Pengerusi PPBM sendiri Tun Mahathir bagi ‘menenangkan’ keadaan yang sudah pun keruh.

Permainan Politik DAP, AMANAH

Serangan yang dihalakan oleh AMANAH dan DAP negeri terhadap Azmin jelas membuktikan bahawa kedua-dua parti itu tidak lagi mahu berketuakan Azmin di Selangor. Pendek kata, DAP tidak lagi mahu melihat Azmin yang seolah-olah suka bertindak sendirian dalam hal yang sepatutnya melibatkan keputusan bersama PH terus kekal menjadi menteri besar. Apatah lagi kini sudah mula timbul satu prasangka dalam kalangan penyokong DAP, AMANAH dan tidak mustahil PPBM juga bahawa PKR seolah-olah ‘perasan’ bahawa merekalah parti tunjang dan ketua PH memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dari parti itu.

Maka atas ketidakpuasan hati tersebut, muncullah AMANAH memulakan serangannya terhadap Azmin sebelum disusuli ‘abang besar’ mereka DAP. Tidak mustahil ini adalah gerakan dan langkah terancang kedua-dua parti komponen itu untuk menyingkirkan Azmin sebagai menteri besar dan memastikan pengaruh PKR dalam pakatan itu terhakis sedikit demi sedikit pasca PRU kelak. Bagi AMANAH dan DAP, mereka tidak lagi mahu terus melihat Anwar sebagai tonggak perubahan daripada kaca mata PKR kerana bagi mereka itu adalah impian yang belum pasti menjadi kenyataan. Mereka sudah beralih pergantungan terhadap Mahathir sebagai faktor politik yang baharu.

Azmin Dan Kebergantungan Terhadap PAS

Ketidakpuasan hati terhadap Azmin oleh DAP dan AMANAH dalam hal ini tidaklah sukar difahami. Setelah PAS keluar dari pakatan pembangkang pada 2015, umum mengetahui DAP terus menyerang parti Islam itu secara bertalu-talu sehinggalah ke hari ini. Bagi AMANAH pula, ‘penyingkiran’ mereka daripada parti Islam itu dilihat sebagai satu perbuatan yang mesti didendami. Tentunya dendam itu mahu dilunaskan menjelang dan pasca PRU kelak melalui penyingkiran PAS di kawasan-kawasan yang dikuasai mereka di Selangor kini.

Azmin dimaklumi begitu berharap kepada sokongan PAS dalam survival politik PKR dan dirinya sendiri di Selangor. Secara realistiknya, PAS adalah penggerak utama yang menjana kemenangan pembangkang di Selangor sejak dua PRU yang lalu. Azmin dan kebanyakan pemimpin Melayu PKR memahami hakikat ini. Maka tidak hairanlah Azmin sebelum ini masih ‘berdegil’ berunding dengan PAS untuk mengelak pertembungan tiga penjuru dengan parti Islam itu di kawasan PKR bertanding kelak walaupun PAS telah secara rasmi berpatah arang dan memutuskan tahaluf siyasi mereka dengan parti itu.

Walaupun cubaan rundingan tersebut gagal, perkara itu jelas tidak disenangi DAP dan AMANAH sendiri. Hakikat Azmin yang masih mengekalkan barisan EXCO negeri dari PAS nyata memperlihatkan hubungan yang masih ingin dipelihara menteri besar itu dengan parti Islam tersebut. Bagi DAP dan AMANAH, Azmin masih enggan berpijak dengan realiti bahawa PAS adalah ‘pengkhianat’ perjuangan blok politik itu. Tetapi bagi Azmin sendiri, ‘pengkhianat’ itu sangat diperlukan setidak-tidaknya bagi menjamin kedudukannya di Gombak dan penguasaan PKR di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu di Selangor.

Halusinasi Kosong Pakatan

Bagi Azmin, tanpa PAS, PH boleh tersungkur di Selangor hanya disebabkan halusinasi kosong mereka yang terlalu yakin dapat terus menumbangkan BN di negeri itu. Halusinasi inilah yang dilihat menjadi punca kepada keterujaan parti komponen PH di Selangor dalam isu pembahagian kerusi sehingga ia akhirnya terbukti memudaratkan kesepakatan mereka sendiri. Sementelah Azmin sendiri bolehlah mula berasa bimbang mengenai kerusi menteri besar yang mungkin disabotaj komponen PH yang lain, DAP, AMANAH dan PPBM juga semestinya perlu lebih realistik mengenai potensi mereka yang semakin menyusut untuk mengekalkan penguasaan PH di Selangor tanpa kehadiran PAS di sisi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here