UMNO

JIKA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dikatakan ibu segala pilihan raya, PRU-14 pastinya lebih mencabar dan sengit daripada PRU-13.

Bukan sekadar ibu, tetapi PRU-14 boleh dikatakan sebagai penentu sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa atau sebaliknya.

Adakah BN terus kekal berkuasa atau Pakatan Harapan(PH) yang diketuai DAP akan mengambil alih Putrajaya?

Sesungguhnya, mengambil alih Putrajaya sememangnya menjadi impian DAP dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang serta anaknya, Lim Guan Eng sejak sekian lama.

Apa yang perlu dilakukan oleh BN bagi memastikan parti itu terus kekal memerintah pada PRU-14?

Umum pastinya mengetahui, parti dalam BN yang memenangi majoriti terbanyak dalam pilihan raya umum lalu dan sebelumnya adalah UMNO.

Jadi, adakah perlu untuk UMNO bertanding di kesemua kerusi majoriti Melayu pada PRU-14?

Keputusan dalam dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu PRU-12 dan PRU-13 telah menjadi bukti bahawa gelombang penolakan terhadap komponen BN melibatkan MCA, MIC dan Gerakan semakin meningkat.

Tidak mustahil situasi sama akan berterusan dalam PRU akan datang.

Persoalannya, adakah UMNO perlu berkorban lagi hanya disebabkan mahu memenuhi tuntutan perkongsian kuasa yang selama ini menjadi tunjang pemerintahan negara?

Dalam PRU-13, daripada 114 kerusi majoriti Melayu, 110 kerusi dimenangi oleh parti dominan Melayu yang terdiri daripada UMNO, PAS dan PKR.

Daripada jumlah 110 itu, UMNO memenangi kerusi Melayu paling banyak iaitu 73 kerusi, PAS (20) dan PKR (17).

Parti komponen BN, hanya memenangi empat kerusi di kawasan Melayu.

UMNO juga telah bermurah hati memberikan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada MCA untuk bertanding.

Adakah MCA menang di kerusi majoriti Cina pada PRU-13?

Jawapannya tidak. Ini kerana kesemua kerusi majoriti Cina di Semenanjung dimenangi DAP iaitu 22 kerusi.

Melihat kepada situasi yang berlaku pada PRU-13 itu, adakah UMNO perlu sekali lagi menyerahkan kerusi majoriti Melayu kepada MCA atau Gerakan pada PRU-14?

Dalam keadaan cabaran BN untuk mempertahankan kuasa semakin getir, elemen simpati atau terlalu mahu berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa perlu dilonggarkan.

Ini memandangkan komponen BN harus diberi pemahaman untuk berdikari dan bukannya bergantung segala-galanya kepada UMNO.

Apa yang dituntut ialah kesungguhan dan keberanian komponen BN mencabar parti-parti Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR.

Perlu diakui MCA atau Gerakan sehingga kini masih gagal untuk menghalang kemaraan DAP yang terus menguasai pengundi Cina di negara ini.

Keputusan beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-13 juga membuktikan kaum Cina masih belum menyebelahi BN atau bahasa mudahnya menolak BN.

Soalnya, apa yang MCA dan Gerakan sudah lakukan?

Janganlah menyalahkan pihak lain apabila mereka tewas seperti mana berlaku dalam PRU-12.

MCA, Gerakan dan MIC perlu ada keberanian untuk bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.

Berbanding Pakatan Harapan, sepatutnya komponen BN itu mempunyai banyak kelebihan memandangkan kerajaan BN telah melakukan pelbagai usaha bagi memajukan semua kaum di negara ini termasuklah kaum Cina.

Apa lagi yang kaum Cina dan India tidak dapat dan nikmati?

Semuanya sudah dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN bagi membela nasib mereka.

Tetapi kenapakah apabila mengundi majoriti mereka khususnya kaum Cina menolak BN? Di manakah silapnya?

Adakah disebabkan terdapat dalam kalangan komponen BN yang tidak memiliki kesungguhan untuk menarik kembali pengundi bukan Melayu?

Jika benar, keadaan itu amat mendukacitakan kerana kemampuan BN untuk mempertahankan kuasa bukan bergantung kepada UMNO sahaja.

Komponen BN perlu sedar bahawa PRU-14 adalah perhitungan penting kepada parti tersebut.

Tidak dinafikan ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin komponen BN yang menang di kawasan majoriti Melayu berkhidmat dengan baik.

Tetapi ada ketika mereka seolah-olah tidak tahu menjaga hati orang Melayu.

Contohnya dalam isu pembentangan Rang Undang-undang 355, ia sama sekali tiada kaitan dengan orang bukan Islam, oleh itu kenapa ada pemimpin-pemimpin komponen BN yang celupar menentang RUU tersebut.

Adakah mereka berbuat demikian untuk meraih undi daripada kaum bukan Islam khususnya pengundi Cina?

Jika benarlah ada pemimpin-pemimpin komponen yakin dengan menentang RUU355 mereka boleh mendapat sokongan daripada kaum mereka, maka pada PRU-14 ini bertandinglah di kawasan kaum majoriti masing-masing.

Adakah parti komponen BN berani menyahut cabaran ini?

Tidak perlu meminta simpati UMNO atau menggunakan istilah perkongsian kuasa untuk menghalalkan tindakan mereka menyelamatkan diri dengan bertanding di kawasan majoriti orang Melayu.

PRU-14 adalah gelanggang yang amat penting kepada BN. Ketika ini Pakatan Harapan menjadikan UMNO sebagai sasaran kerana mereka memahami UMNO adalah benteng terakhir BN.

Oleh itu, UMNO perlu mengkaji semula adakah wajar sesetengah kawasan yang sepatutnya ditandingi oleh parti tersebut diserahkan kepada mana-mana komponen BN.

Tidak dapat dinafikan dalam kalangan komponen BN yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekali.

Tetapi ada sesetengah kawasan perlu diambil semula oleh UMNO khususnya kawasan yang sepatutnya BN menang jika calon UMNO bertanding.

Kepada MCA, Gerakan dan MIC, mereka tidak perlu lagi berpura-pura dengan membuat kenyataan kaum tertentu sudah kembali menyokong BN.

Sebaliknya apa yang harus mereka lakukan ialah benar-benar berusaha menarik sokongan kepada parti tersebut.

Jika mahu dilihat dari segi jasa, kerajaan BN jauh lebih ke hadapan dalam soal itu sejak merdeka lagi berbanding pembangkang yang hanya menggunakan modal air liur sahaja untuk menang dalam pilihanraya.

Oleh itu janganlah menuntut UMNO sahaja berkorban sedangkan mereka sendiri tidak melakukan pengorbanan.

Jika parti komponen BN tidak sanggup berkorban pada PRU-14 kali ini, mungkin lebih baik kita awal-awal lagi sudah sedia membaca talkin dan tahlil doa selamat sempena noktah akhir pemerintahan BN di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here