BARISAN Nasional (BN) pada 21 Oktober 2017 telah pun mengadakan Pemukiman Jentera BN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Program itu memberikan reaksi positif berhubung persediaan gerak kerja jentera BN di peringkat akar umbi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Persoalannya, cukup bersediakah jentera BN berdepan PRU yang tarikhnya akan diumum pada bila-bila masa sahaja dari sekarang?

Jika diimbas kembali, dalam sejarah pilihan PRU Malaysia telah dicatatkan berlaku dua ‘tsunami’ yang telah mengubah senario politik negara. Kali pertama pada PRU-12 (2008) dan kali kedua pada PRU-13 (2013).

Walaupun BN ditunjangi UMNO kekal memerintah, namun mereka kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Selain gagal merampas kembali Kelantan yang terus berada dalam genggaman PAS sejak 1990, BN juga kehilangan Kedah, Perak (untuk tempoh 11 bulan), Selangor dan Pulau Pinang dalam PRU-12.

Dalam PRU-13, Kedah kembali dikuasai manakala Selangor dan Pulau Pinang kekal di tangan Pakatan Rakyat yang kini berpecah menjadi Pakatan Harapan.

Tsunami PRU-12 dianggap ‘tsunami politik’ dan PRU-13 pula dianggap ‘tsunami Cina’.

Persoalannya, tsunami apa pula yang akan berlaku dalam PRU-14 kali ini?

Pakatan Harapan diketuai oleh DAP dan disertai oleh PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN sudah menguar-uarkan bahawa PRU-14 bakal menyaksikan tsunami Melayu atau dalam bahasa mudah mereka mengharapkan orang Melayu akan menolak UMNO dan BN.

Misi meranapkan penguasaan UMNO adalah strategi paling ampuh bagi menamatkan pemerintahan BN.

Sebelum ini dalam PRU-12 dan PRU-13, komponen BN di Semenanjung khususnya berjaya ‘dilumpuhkan’, bagaimanapun BN terus berkuasa kerana UMNO masih mendapat sokongan dan dibantu oleh parti-parti komponen di Sabah serta Sarawak.

Adakah tsunami Melayu akan berlaku pada PRU-14 seperti diramal Pakatan Harapan?

Sudah semastinya BN tidak boleh memandang remeh perkara itu biarpun ia hanya ramalan pembangkang.

Siapa boleh menduga tsunami politik dan tsunami Cina berlaku pada PRU-12 dan PRU-13 lalu?

Pakatan Harapan amat memahami UMNO adalah tonggak kekuatan BN. Selagi UMNO kuat maka selagi itulah BN akan terus berkuasa dan sekali gus memusnahkan impian mereka untuk menawan Putrajaya.

Jadi, tindakan mereka menjadikan UMNO sebagai sasaran bermakna ia sebagai permulaan kepada satu pengakhiran kepada penguasaan kuasa politik orang Melayu.

Ia memandangkan Pakatan Harapan tidak mewakili kuasa politik Melayu.

Parti yang menjadi dominan dalam pakatan itu bukan PPBM yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad atau PAN yang dipimpin Mohamad Sabu mahupun PKR yang diterajui Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sebaliknya pakatan itu jelas diketuai DAP.

Berdasarkan senario itu, ia membuktikan ‘tsunami Melayu’ yang diuar-uarkan bukanlah omong kosong semata-mata.

Sebaliknya, ia satu strategi bagi menamatkan kuasa politik Melayu dengan memastikan UMNO kalah dalam PRU-14.

Bagaimana pula dengan persediaan BN bagi menghadapi PRU-14 akan datang?

Adakah BN telah berjaya menarik sokongan pengundi terutama di kawasan bandar?

Usaha mengembalikan keyakinan pengundi bandar yang majoritinya kaum Cina mesti dipergiatkan oleh jentera BN.

Adakah parti komponen BN terutama MCA dan Gerakan telah berjaya mengembalikan kaum Cina terhadap mereka?

Apa usaha yang dilakukan dua parti komponen itu sejak PRU-13 lalu?

Selain isu pengundi di bandar, BN juga perlu bersedia melawan fitnah yang ditaburkan pembangkang menerusi media sosial.

Tentera siber pakatan pembangkang berteraskan kekuatan ‘Red Bean Army’ yang didalangi DAP sangat komited menyebarkan fitnah terhadap kerajaan dan BN.

Ada yang berpandangan, BN sudah tewas dalam medan peperangan media sosial.

Tentera siber BN tidak boleh sekadar mengambil pendekatan bertahan dan hanya memberi penjelasan terhadap fitnah yang disebarkan pembangkang di media sosial.

Jika dilihat pada cabarannya, pelbagai dugaan akan dihadapi BN bagi menghadapi PRU-14 dan cabaran utamanya pastinya adalah Pakatan Harapan diketuai DAP.

Pakatan Harapan pasti akan mencipta apa jua isu dan persepsi bagi memastikan rakyat terpengaruh dan mempercayainya.

Bukan saja dalam aspek tsunami Melayu, isu pengundi bandar dan Cina serta isu media sosial, pelbagai perkara perkara diberikan perhatian oleh BN.

Sudahkah BN melaksanakannya?

Kalau belum, kira-kiranya mudah. Lupakan sahaja hasrat menguasai semula dua pertiga kerusi di Parlimen nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here