Selangor

KERAJAAN Pakatan Harapan di Selangor kini sedang bergolak atau dalam krisis?

Ada yang mengatakan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan dapat bertahan lama.

Malah sudah ada ura-ura mengatakan Azmin akan digantikan jika Pakatan Harapan menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Benarkah dakwaan itu atau ianya sekadar buah mulut menjelang PRU-14?

Jika dilihat pada situasi politik di Selangor, DAP dilihat sudah mula curiga dengan kepimpinan Azmin.

Sebenarnya, sikap tidak yakin sebahagian pemimpin Pakatan Harapan termasuk dalam PKR sendiri terhadap Azmin bukan perkara baharu.

Keraguan mula terserlah apabila PKR tidak melantik Azmin sebagai Menteri Besar Selangor setelah berjaya menawan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) sebaliknya, kepemimpinan parti berkenaan memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perkara itu menimbulkan persoalan kerana ketika itu Azmin mempunyai jawatan yang lebih tinggi dalam parti berbanding Abdul Khalid.

PKR terpaksa mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Kajang sehingga membolehkan Azmin menjadi Menteri Besar walaupun beliau bukan pilihan utama.

Oleh itu, tidak pelik apabila ada pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP meragui kebolehan Azmin termasuk dalam usaha Menteri Besar itu untuk memujuk PAS kembali menyertai Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan sendiri memaklumkan tidak yakin usaha Azmin memujuk PAS akan membawa kesan positif kepada Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Sebelum ini, pemimpin DAP menggunakan platform media sosial mengkritik kenyataan Azmin berkenaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Azmin sebelum ini memaklumkan kerajaan PR Selangor masih wujud kerana mandat daripada pilihan raya umum sebelumnya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkongsi artikel itu di halaman Facebook yang disertai kenyataan itu: ‘ketawa atau menangis?’

Veteran DAP Lim Kit Siang juga berkongsi artikel yang sama di Twitter, menyebutnya ‘sangat mengejutkan’ dan ‘tidak boleh diterima’.

Terbaharu, timbul desas desus yang mengatakan Mohamad Sabu bakal bertanding di Selangor dalam PRU-14 nanti.

Presiden PAN itu dikatakan telah dipersetujui oleh DAP untuk bertanding di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri berkenaan.

Bagaimanapun, DUN yang dimaksudkan sebenarnya masih samar-samar kerana masih dalam penilaian agar ia mudah bagi Mat Sabu menang.

Mat Sabu juga dikatakan akan bertanding di kawasan Parlimen di Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad telah memaklumkan beliau bersedia untuk melepaskan kerusinya, jika beliau dipilih untuk penggal terakhir.

Pengarah Komunikasi PAN itu memaklumkan, parti itu telah memilih dua kawasan yang mungkin dimenangi iaiti Shah Alam atau Kota Raja.

PAN juga telah mengesahkan Khalid bakal bertanding di Johor pada PRU-14 akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub memaklumkan, Majlis Presiden Pakatan Harapan masih belum memuktamadkan kerusi yang bakal ditandingi Pengarah Komunikasi parti itu bertanding di Johor.

Jadi, adakah Mat Sabu akan bertanding di Parlimen dan DUN di Selangor?

Dikatakan DAP amat bergantung tinggi untuk Mat Sabu menang di Selangor.

Adakah Mat Sabu bakal dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Azmin?

Jika dilihat pada situasi politik yang berlaku, DAP dan Pakatan Harapan telah mula curiga dengan Azmin.

Walaupun di luar nampak baik, namun sebenarnya DAP sudah mula was-was dengan kepimpinan Azmin.

Azmin dilihat lebih banyak membuat keputusan mengikut kepala sendiri tanpa menghormati DAP.

Adakah dengan apa yang berlaku itu menandakan bahawa Pakatan Harapan akan tewas di Selangor pada PRU-14?

Puncanya, hanya disebabkan oleh krisis yang berlaku antara DAP dan Azmin serta sebahagian pimpinan PKR?

Terbukti DAP adalah ‘Abang Besar’ yang akan menentukan keputusan dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

Layakkah Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk terus mentadbir Selangor?

Keputusannya terletak di tangan rakyat Selangor sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here