PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Barisan Nasional (BN) gagal mengembalikan majoriti dua pertiga penguasaan mereka di Parlimen.

Namun, UMNO terus mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu apabila menambah kerusi Parlimen daripada 79 kepada 88.

Umum pasti tahu, ahli dan kepimpinan UMNO akan berhimpun pada 5 Disember ini pada Perhimpunan Agung parti keramat orang Melayu itu.

Perhimpunan itu tentunya yang terakhir diadakan sebelum gendang perang PRU-14 bermula.

Apakah yang ditumpukan oleh UMNO pada perhimpunan itu?

Adakah pemilihan kepimpinan parti perlu menjadi keutamaan?

Soal pemilihan perlu diketepikan terlebih dahulu, yang harus diutamakan ialah PRU-14.

Apa gunanya, jika pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong mereka beria-ia mempromosikan diri untuk menang dalam pemilihan kalau pada PRU-14, UMNO tidak lagi berkuasa dan BN hanya menjadi pembangkang.

Diyakini, seluruh ahli UMNO pasti tidak mahu perkara itu berlaku.

Oleh itu perhimpunan kali ini perlu dijadikan platform untuk memberikan keyakinan kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa hanya UMNO adalah parti harapan yang mampu membela nasib mereka.

Namun begitu, realitinya UMNO tidak boleh terus bernostalgia dengan sejarah silam.

Sebaliknya UMNO perlu membuktikan kenapakah orang Me­layu perlu terus menyokong parti itu.

Perlu diingat, UMNO terus hidup dan menjadi tonggak pemerintahan negara adalah kerana hasil sokongan orang Melayu.

Apakah cabaran UMNO bagi menghadapi PRU-14?

Berbanding PRU-13, cabaran UMNO untuk mengekalkan atau memperkukuhkan sokongan orang Melayu pada PRU-14 kali ini jauh lebih hebat memandangkan terwujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Walaupun PPBM dilihat tidak akan menjadi dominan dalam Pakatan Harapan sebaliknya sekadar pak turut tetapi perjuangan UMNO bukan berkisar kepada soal itu.

Perjuangan UMNO adalah untuk memastikan kuasa politik Melayu tidak tersungkur di bumi sendiri akibat kejahilan sesetengah pemimpin Melayu berpolitik.

Kelompok ini sanggup bersekongkol dan mengemis kerjasama dengan DAP walaupun mengetahui bagaimana corak politik parti tersebut.

Tetapi pemimpin-pemimpin berkenaan tidak peduli. Sebab itulah mereka sanggup mengkhianati UMNO dan menggadaikan apa sahaja asalkan impian mereka untuk menamatkan kekuasaan UMNO dan menjatuhkan Perdana Menteri tercapai.

Namun persoalannya, apa akan terjadi kepada orang Melayu selepas itu jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP menjadi parti dominannya berjaya menawan Putrajaya?

Justeru itulah, UMNO perlu berusaha memperkukuhkan so­kongan orang Melayu terhadap parti itu.

Pelbagai usaha perlu dipertingkatkan untuk meyakinkan orang Melayu apa akan berlaku jika UMNO hilang kuasa.

Percayalah, apabila itu berlaku kelak tidak mustahil orang Melayu akan dilayan bagaikan pela­rian di tanah air sendiri.

Namun sama ada orang Melayu akan menyebelahi UMNO atau tidak, ia bergantung kepada pemimpin dan ahli parti itu sendiri khususnya di peringkat akar umbi. Merekalah penentu hidup mati UMNO dalam PRU-14 nanti.

Mahu tidak mahu sebahagian besar orang Melayu amat memahami perjuangan UMNO untuk mereka.

Bagaimanapun ia gagal diterjemahkan dalam bentuk sokongan bukan kerana orang Melayu tidak suka UMNO tetapi percaturan politik dalaman parti tersebut memungkinkan ia berlaku.

Oleh itu pemimpin dan ahli UMNO perlu mempunyai keinsafan dan kesedaran tinggi.

PRU-14 bukanlah pertarungan untuk mempertahankan kekuasaan semata-mata tetapi satu perjuangan bagi memastikan orang Melayu tidak ditimpa sebarang petaka jika UMNO kehilangan kuasa.

Ini bukan untuk menakut-nakutkan orang Melayu tetapi itulah realiti politik negara kita sekarang.

Oleh itu adalah wajar jika UMNO meningkatkan usaha membantu orang Melayu dan memenangi hati mereka.

UMNO tidak perlu terus terhengeh-hengeh untuk meraih sokongan kaum lain yang ada antara mereka kita ketahui sehingga kini masih berjiwa pembangkang biarpun membuat pelbagai tuntutan kepada BN.

Hati dan perasaan orang Melayu perlu dijaga kerana merekalah yang menjadi penentu kepada survival politik UMNO.

Janganlah sampai orang Melayu melihat setiap kali menjelang pilihan raya mereka dipinggirkan kerana ada dalam kalangan pemimpin UMNO masih mengharapkan kaum ter­tentu kembali menyokong BN.

Orang Melayu adalah kaum yang tahu mengenang budi dan amat mengerti kepentingan UMNO kepada masa depan mereka.

Oleh itu UMNO perlu menumpukan perhatian yang lebih kepada mereka dan bukannya terus melakukan tindakan yang dianggap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ bagi meraih sokongan pihak lain.

BN dan UMNO perlu bekerja keras bermula dari sekarang.

Jangan sampai orang Melayu merajuk. Buruk padahnya nanti.

Pada masa nasi sudah menjai bubur nanti, tiada guna hendak mengungkit dan menyesal lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here