SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan PAS mungkin akan kehilangan Kelantan jika tidak bersama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Kenyataan itu dibuat Guan Eng selepas PAS tetap menegaskan untuk tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan meskipun PKR dilihat masih cuba melakukan rundingan.

Sehubungan itu, Guan Eng mengingatkan parti-parti gabungan Pakatan Harapan agar berhenti berharap kerjasama PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.

Persoalannya, mampukah PAS pertahankan Kelantan jika bertanding secara bersendirian pada PRU-14?

Bukan hendak menafikan kekuatan PAS tetapi rekod sebelum ini menunjukkan bahawa PAS menang atas bantuan sekutunya dalam pembangkang.

Jika dilihat kembali, PAS bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo parti itu adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1978 selepas keluar daripada gabungan dengan Barisan Nasional (BN) pada 1977.

Dalam keputusan PRU 1978, di Kelantan, PAS hanya menang dua daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dan untuk kerusi Parlimen, PAS menang hanya dua daripada 10 kerusi.

Di Terengganu, BN menyapu bersih kesemua kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan. Di Kedah, PAS menang tujuh daripada 26 kerusi DUN yang ditandingi, manakala gagal di semua kerusi Parlimen yang ditandingi.

Begitu juga di Pulau Pinang, PAS turut kecundang apabila hanya berjaya memenangi satu daripada 26 kerusi DUN manakala daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi, PAS hanya berjaya memenangi satu daripada jumlah itu.

Hanya itu sahaja kerusi yang dimenangi PAS pada PRU 1978 dan di Parlimen, PAS hanya ada tiga orang Ahli Parlimen iaitu dua dari Kelantan dan satu dari Pulau Pinang.

Pada PRU 1982, PAS hanya menang 10 daripada 32 kerusi DUN di Kelantan manakala menang empat daripada 12 kerusi Parlimen.

Di Terengganu, PAS menang lima daripada 28 kerusi DUN dan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen.

Di Kedah, PAS hanya menang dua daripada 26 kerusi DUN dan menang satu daripada 13 kerusi Parlimen.

Di Perlis, PAS hanya menang satu daripada 12 kerusi DUN sahaja.

Pada 1982, PAS memiliki lima orang wakil rakyat di Parlimen iaitu empat orang dari Kelantan dan seorang dari Kedah.

Begitu juga pada PRU 1986, PAS menang 10 daripada jumlah 39 kerusi DUN di Kelantan dan menang satu daripada 13 kerusi Parlimen iaitu Pangkalan Chepa.

Di Terengganu, PAS hanya berjaya memenangi dua daripada 32 kerusi DUN.

Di Kedah, PAS hanya berjaya menang tiga daripada 28 kerusi DUN dan di Perlis, PAS menang satu daripada 12 kerusi DUN.

Kesemua rekod itu, dari PRU 1978 sehingga PRU 1986 dapat menunjukkan kekuatan sebenar PAS apabila bergerak sendiri dan tidak bergabung dengan mana-mana parti politik.

Pada PRU 1990, sukar untuk menyatakan kekuatan sebenar PAS kerana telah bergabung dengan Parti Semangat 46, manakala hasil gabungan tersebut telah memberi keuntungan besar kepada PAS terutamanya di Kelantan.

Pada PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 pula, sokongan kepada PAS tidak dinafikan banyak dibantu oleh rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat PKR dan DAP terutamanya di Pantai Barat.

Itu adalah berdasarkan kepada rekod PRU sebelum ini yang memperlihatkan mengenai pencapaian PAS.

Bagaimanapun, PAS yakin akan mempertahankan kerajaan Kelantan walaupun terpaksa berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

PAS juga menolak kemungkinan bahawa Pakatan Harapan akan menang pada PRU-14 di Kelantan kerana tiada fakta yang menyokong dakwaan itu.

Pada PRU-14, PAS yang kini telah pun membentuk Gagasan Sejahtera perlu membuktikan parti berkenaan mampu bergerak bersendirian.

Rekod terdahulu biarlah ia terus menjadi rekod, apa yang penting PAS perlu membuktikan parti itu boleh bergerak sendiri tanpa bantuan PKR dan DAP.

Dalam politik, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Beranikah PAS untuk bertanding secara bersendirian terutama di Kelantan pada PRU-14?

PAS perlu membuktikannya. ‘Good Luck!’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here