WAKIL Rakyat adalah mereka yang dipilih sebagai wakil menerusi sistem pilihanraya.

Terdapat tiga fungsi utama wakil rakyat secara umumnya iaitu pertama, sebagai mekanisme penyampai pendapat dan kehendak rakyat.

Kedua, sebagai pembuat atau penggubal undang-undang (legislatif) dan terakhir, sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif.

Seorang yang dipilih sebagai wakil rakyat, salah satu peranan utama mereka ialah mewakili rakyat kawasan pilihan rayanya.

Wakil rakyat menggalas amanah besar yang hendaklah ditunai dengan jujur dan bijaksana seperti kehendak mereka yang berada di daerah pilihanrayanya.

Wakil rakyat itu bukan saja mewakili rakyat yang mengundi mereka ketika pilihanraya, malah rakyat yang tidak menyokong atau tidak mengundi mereka ketika pilihanraya.

Dalam perkhidmatan wakil rakyat, hendaklah wujud ruang untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat dan bantuan.

Amanah lain yang digalas oleh seorang wakil rakyat ialah membuat undang-undang.

Apabila seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat, maka secara automatik beliau menjadi ahli badan legislatif.

Maksudnya, wakil rakyat juga adalah seorang ahli Dewan Perundangan dan merangka undang-undang bagi negeri atau negara.

Jadi, adakah penting untuk rakyat memilih wakil rakyat yang bersesuaian?

Ianya cukup penting, kerana seperti dinyatakan tugas seorang wakil rakyat cukup besar termasuk dalam merangka undang-undang negeri dan negara.

Jika hanya pandai bercakap, tetapi tidak mengambil tahu hal rakyat, adakah individu seperti ini layak menjadi wakil rakyat?

Tetapi kini ramai yang beranggapan keputusan pilihanraya tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka.

Mereka beranggapan yang menerima manfaat hanyalah calon yang menang sahaja. Ini menyebabkan mereka tidak cakna untuk keluar mengundi walaupun telah mendaftar sebagai pengundi.

Persoalannya, benarkah rakyat tidak menerima apa-apa kesan daripada pilihan yang dibuat dalam pilihanraya?

Perlu diingatkan keputusan pengundi untuk memilih wakil mereka di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen memberikan kesan yang besar dalam aspek perundangan, belanjawan, polisi dan arah tuju negeri-negeri dan negara.

Kesan ini akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat untuk tempoh empat hingga lima tahun sehinggalah Parlimen dibubarkan.

Jadi, adakah kegagalan untuk memilih wakil yang berkemampuan akan memberikan kesan kepada masyarakat?

Di negara ini, untuk melicinkan pentadbiran negara dan memilih pucuk pimpinan yang baik, negara ini memberi hak kepada rakyat untuk memilih berdasarkan undian yang dibuat menerusi proses pilihan raya.

Di dalam konteks ini, ia lebih memfokuskan bagaimana pilihanraya itu dijalankan mengikut Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 113 sehingga perkara 120 yang menjelaskan tentang bagaimana proses pilihanraya itu bermula dan juga kelayakan yang perlu ada bagi calon yang bakal diundi.

Apakah matlamatnya?

Matlamatnya adalah untuk melicinkan perjalanan pengundian dan proses pilihanraya itu sendiri tanpa melanggar sebarang undang-undang dan juga untuk memberikan hasil yang baik tanpa ada sebarang masalah lain yang timbul.

Ianya menunjukkan pilihanraya ini dilakukan dengan sistematik berpandukan Perlembagaan yang juga merupakan undang-undang tertinggi negara.

Dalam menjalankan proses pilihanraya, badan-badan yang terlibat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bersama bagi memudahkan perjalanan proses mengundi dan juga mengelakkan jenayah rasuah bertukar tangan supaya keputusan yang terhasil adalah telus dan adil bagi semua pihak.

Pelaksanaan pilihanraya ini juga memberi ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka supaya masa hadapan mereka di negara ini tidak dicabul oleh pucuk pimpinan yang zalim.

Tujuan pemilihan yang dijalankan ini bertujuan untuk kebajikan rakyat di negara ini lebih terjamin dengan pemilihan pemimpin yang betul, kerana pentadbiran negara sistematik adalah untuk kesenangan rakyat pada akhirnya.

Wakil rakyat seperti mana yang diinginkan rakyat pada PRU-14 nanti?

Wakil rakyat yang dipilih tidak hanya terhad kepada tugas memotong reben perasmian atau yang hanya berswafoto dengan rakyat.

Tetapi yang paling penting adalah berani menggunakan hak dan kuasa sebagai wakil rakyat di dalam dewan untuk membahaskan dan menjalankan peranan semak dan imbang badan legislatif.

Justeru sebagai rakyat kita mempunyai tanggungjawab besar kepada negara untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

Jika tersalah pilih, kerana rakyat sendiri juga yang akan mendapat kesannya.

Buat pilihan terbaik apabila tiba masanya nanti kerana keputusan adalah 100 peratus di tangan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here