SIAPA tidak mengenali insan yang bernama Ezam Mohd. Nor. Pasti semua orang tahu dan mengenalinya. Ezam mula terkenal selepas mendakwa memiliki enam kotak yang mengandungi rahsia mengenai kegiatan rasuah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet pada tahun 1998, Ezam mendakwa dirinya mempunyai enam kotak bukti rasuah pemimpin negara yang menunggu masa untuk didedahkan.

Ini menyebabkan dirinya dikritik dan Ezam tetap mempertahankan keputusannya tidak mendedahkan dokumen daripada enam kotak tersebut.

Kata Ezam, pendedahan dokumen rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz menyebabkan beliau dipenjara mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2002.

Atas alasan itu, Ezam tidak mahu mendedahkan enam kotak rahsia itu.

Pada 27 Mei 2009, dalam program Hujah di TV9, Ezam menafikan beliau memiliki enam kotak rasuah itu, sebaliknya kotak itu dikatakan masih di tangan Anwar.

Berikut merupakan antara jawapan yang pernah diberikan oleh Ezam mengenai enam kotak berkenaan:

*Semasa dalam PKR, enam kotak rasuah ada pada tangan beliau dan tunggu masa akan didedahkan.

*Dalam satu perjumpaan tertutup bersama rakan-rakan, Ezam menyatakan Anwar menyuruhnya mereka-reka cerita mengenai enam kotak tersebut.

*Di sebuah ceramah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Ezam kata kotak tersebut ada pada Anwar.

*Dalam sebuah wawancara pada, Ezam kata kotak tersebut masih ada.

Baru-baru ini, Ezam dilaporkan bakal bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ezam dikatakan bakal bertanding mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipengerusikannya, Hisbah Centre for Reform (Hisbah).

Perkara itu disahkan timbalannya, Syed Nazarudin Syed Aziz.

Ezam diminta menamatkan khidmat beliau di Hisbah Cabang Jakarta, Indonesia dan tugas pengajian di beberapa universiti di Yogyakarta dan Surakarta serta merta dan kembali menumpukan usaha sepenuhnya di Malaysia mulai Januari 2018.

Ezam dikatakan akan menumpukan isu rasuah dan salah guna kuasa dalam kempennya dan akan membawa isu rasuah dari sudut Islam di Dewan Rakyat jika menang, selaras dengan bidang tumpuan Hisbah.

Syed Nazarudin juga tidak menolak kemungkinan Ezam akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika dilihat kepada pembabitannya dalam politik, Ezam bermula dari UMNO dan pada 1998 dia keluar dari parti keramat itu dan mengumumkan menyertai PKR.

Selepas panas punggung bersama PKR, Ezam melompat lagi dari parti diterajui Anwar itu pada 2007 dan menyertai semula UMNO pada 28 Mei 2008.

Pada 2 Oktober 2016, Ezam kembali meninggalkan UMNO setelah gagal melaksanakan transformasi dalam kerajaan terutama berkenaan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ezam kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Oktober 2016 namun keluar dua bulan kemudian atas sebab mahu menumpukan perhatian kepada Hisbah.

Pada Mac 2017, Ezam mengumumkan penubuhan ‘Parti Bebas Rasuah’, usaha penjenamaan semula Parti Generasi Baru dan akan berdepan dengan Najib di mana sahaja Perdana Menteri itu bertanding.

Namun, Ezam meninggalkan parti itu beberapa bulan kemudian atas sebab kelewatan Jabatan Pendaftaran Negara (RoS) meluluskan penukaran nama Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas Rasuah.

Setelah sekian lama melibatkan diri dalam politik, kini Ezam dikatakan akan bertanding pada PRU-14.

Kerusi yang akan ditandinginya adalah kerusi Parlimen dan Parlimen Pekan akan menjadi tumpuannya.

Tidak kisahlah di mana pun Ezam mahu bertanding, itu haknya.

Persoalannya, beranikah Ezam untuk bertanding melawan Najib di kerusi Parlimen Pekan pada PRU-14?

Adakah Ezam akan kembali membawa isu enam kotak rahsianya jika beliau bertanding di Pekan?

Apakah Ezam akan mendedahkan kandungan enam kotak rahsia berkenaan di kerusi Parlimen Pekan?

Ternyata Ezam seorang yang oportunis dan bercita-cita besar dalam karier politiknya.

Setelah gagal mendapat tempat dalam PKR, Ezam kembali menyertai UMNO dan apabila mendapat pangkat dan kedudukan dan memperoleh manfaat serta kepentingan dalam kerajaan, Ezam meninggalkan UMNO.

Begitulah sikap Ezam yang akan melompat masuk ke mana-mana parti politik demi kepentingan dirinya. Jika merasakan tiada lagi kepentingan untuknya, Ezam akan keluar.

Pastinya pelbagai sudah mula memandang rendah kepada Ezam apabila sering masuk dan keluar parti bermula dari PKR, UMNO dan PPBM.

Ia jelas menunjukkan Ezam adalah seorang yang tidak kukuh pendiriannya dan jelas oportunis.

Pastinya, akan ada lagi ‘kotak’ yang akan ditampilkan Ezam apabila beliau bertanding PRU-14.

Ezam dan ‘kotak’ tidak dapat dipisahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here