DALAM taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap panjang lebar kebimba­ngannya terhadap gejala sabotaj calon pilihan pucuk pimpinan.

Ini sebenarnya tidak menghairankan kerana itulah realitinya, isu sabotaj calon atau cah keting masih menjadi ‘duri dalam daging’ dalam UMNO.

Hakikatnya, isu cah keting bukan sahaja berlaku dalam UMNO, dalam pembangkang pun berlaku.

Isu cah keting tidak dapat tidak, mesti dielakkan oleh ahli UMNO.

Cuma, bila agaknya persoalan cah keting ini akan berakhir?

Sebenarnya sampai bila pun persoalan itu tidak akan selesai selagi manusia mempunyai pe­rasaan tamak dan dahaga kuasa.

Kenapa sabotaj atau cah keting berlaku?

Antara puncanya ialah kerana merajuk disebabkan tidak dipilih sebagai calon atau calon bukan pilihan kumpulan tertentu.

Menjelang pilihan raya umum (PRU), pemimpin parti sudah beberapa kali menyatakan kriteria calon untuk dipilih. Harus diingat, jawatan di peringkat bahagian bukan lesen mutlak untuk melayakkan mereka dipilih sebagai calon.

Maka bersedialah untuk menerima keputusan pucuk pimpinan parti walaupun selama ini mereka sudah bekerja keras, banyak masa dan duit dihabiskan.

Sabotaj juga berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin yang gagal menyelaraskan pelbagai aktiviti menjelang PRU.

Sesuatu yang sering didengar ialah mengenai peruntukan menghadapi kempen PRU yang tidak sampai ke bawah.

Akhirnya berlakulah sabotaj seperti tidak menampal poster, menutup bilik gerakan, tidak mengatur ceramah kempen dan pelbagai lagi.

Hakikatnya, sabotaj bukan sekadar berlaku kerana tidak dipilih sebagai calon. Masih ada faktor lain yang mempengaruhi tindakan sabotaj ini.

Akhirnya, kemenangan calon bergantung kepada sejauh mana kesetiaan seseorang anggota parti sama ada ia bertaraf pemimpin atau anggota di peringkat akar umbi.

Tanpa kesetiaan dalam perjuangan, maka seribu satu kemungkinan akan berlaku. Bagi UMNO, slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat perlu dijadikan pegangan anggotanya.

Mereka harus bersatu, setia dan berkhidmat kepada parti dalam apa keadaan sekali pun.

Maka terimalah sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa yang dianggap calon boleh menang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang yang dianggap sukar ini.

Apakah cara paling baik bagi mengatasi isu cah keting?

Cara paling baik untuk me­ngatasi cah keting adalah dengan mematuhi segala arahan ketua.

Jika berlaku perbezaan atau perlumbaan, cepat-cepatlah kembali kepada asas perjuangan dengan segera merapatkan barisan bagi berhadapan dengan musuh.

Jangan melawan atau cepat melenting. Selepas itu ambil masa sejenak memikirkan sebab musabab sesuatu keputusan dibuat.

Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik, ingat setiap perkara yang berlaku ada baiknya. Mungkin tidak kepada individu, tetapi menguntungkan sekumpulan orang yang jelas lebih baik daripada kepentingan peribadi.

Mendepani PRU-14, gelanggang ibu segala pilihan raya itu sebenar­nya bukanlah semata-mata menyaksikan persaingan atas kertas antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Tetapi hakikat sebenar adalah pertembungan UMNO dengan DAP.

Pakatan Harapan bukanlah diketuai oleh mana-mana parti Melayu, hatta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui pengerusi­nya yang dulunya Perdana Menteri berkuasa selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tetapi pakatan itu dikepalai DAP yang memiliki sejumlah besar kerusi dan dipercayai akan mengekalkan sebahagian besar kerusi-kerusi Cina yang dimenangi dalam PRU-13.

Tindakan pemimpin dan ahli UMNO yang terus mengamalkan budaya cah keting pada setiap kali pilihan raya umum bukan sahaja merugikan, malah turut boleh mengancam perjuangan parti yang semakin berdepan dengan cabaran sukar.

Siapa calon yang diletakkan pada pilihan raya nanti harus diberikan sokongan penuh bukannya dengan bertindak mengkhianati mereka.

Berjayakah UMNO mengelak budaya cah keting pada PRU-14 nanti?

Persoalan yang cukup besar ini hanya mampu dijawab oleh kepimpinan dan ahli UMNO sendiri.

Kalau mahu terus ‘bernyawa’ selepas PRU-14, anda pasti tahu apa yang patut dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here