MENJELANG penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 28 April 2018 ini, semua parti politik bertanding kini sibuk mengumumkan calon masing-masing.

Jika dilihat daripada calon yang telah diumumkan, mereka terdiri daripada penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), calon muka baharu dan ada juga yang membuat penampilan semula.

Antara nama yang pastinya menarik perhatian ramai adalah kembalinya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengumumkan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) di Langkawi.

Umum pastinya mengetahui usia Mahathir kini adalah 93 tahun.

Walaupun Mahathir kembali dalam kancah politik negara, Barisan Nasional (BN) dilihat tidak gentar untuk menampilkan calon muda.

Yang pastinya, orang muda jauh lebih aktif dan mempunyai daya ketahanan tinggi untuk memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan mereka.

Boleh dikatakan, BN menampilkan calon muda di setiap negeri di seluruh negara dalam pengumuman calon yang telah pun dibuat.

Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, seorang peguam berusia awal 40-an iaitu Adnan Abu Seman telah diletakkan sebagai calon untuk bertanding di Bandar Tun Razak.

Di Selangor, selain Shahril Hamdan yang baru sahaja berusia 30 tahun, BN turut menampilkan seorang arkitek, Lee Yee Yuan, 28 tahun, yang akan berentap di DUN Sekinchan.

Di Melaka, Ketua Puteri UMNO mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah dalam PRU-14 ini.

Terbukti khidmat Datuk Mas Ermieyati Samsudin di lewat usia 30-an masih diperlukan penduduk kawasan berkenaan sehingga beliau terus diberi kepercayaan lagi.

Di Kelantan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang berusia 41 tahun antara nama pemimpin muda yang menjadi ikon anak muda masa kini.

Di Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berusia 40 tahun di calonkan di kerusi DUN Layang-Layang.

Onn Hafiz yang mulai aktif dalam politik sejak umur 25 tahun itu merupakan salah seorang cucu kepada pengasas UMNO, iaitu Datuk Onn Jaafar. Kini seorang calon muda berjiwa besar dalam parti.

Begitu juga calon muka baharu, begitu ramai diketengahkan oleh BN pada PRU-14 kali ini.

Berdasarkan pengumuman di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Sarawak, sebanyak 100 muka baharu disenaraikan untuk bertanding di negeri masing-masing.

Perak menca­tatkan jumlah tertinggi iaitu 36 calon muka baharu, Pulau Pinang (31 calon), Kedah (18 calon) dan Sarawak 15 calon.

Walaupun berada dalam kategori calon muka baharu tetapi kesemua mereka dikenali di kawasan ma­sing-masing kerana sudah lama ‘turun padang’ berkhidmat untuk rakyat.

Jadi, pada PRU-14 kali ini, kita dapat melihat BN menampilkan ramai calon muda dan muka baharu.

Sudah pasti suara anak muda hari ini diangkat oleh kepimpinan BN apabila mereka diberi ruang dan peluang untuk menjadi calon PRU.

Adakah benar dakwaan BN meminggirkan orang muda di negara ini terutama dalam mengangkat mereka menjadi calon PRU?

Sudah tentu tidak dan ianya sudah terbukti dalam calon yang dikemukakan BN pada PRU-14.

BN berani menampilkan calon muda dan baharu dan semua ini dilakukan untuk meremajakan parti itu.

Jadi, kepada anak muda, buatlah pilihan terbaik pada 9 Mei nanti. Pilihan anda demi masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here