BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin terasa walaupun belum diketahui bilakah tarikhnya.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, apa yang pastinya menarik perhatian ialah mengenai kemunculan parti-parti politik baharu.

Ada antaranya memang merupakan parti baharu dan ada juga merupakan parti serpihan.

Dengan lanskap politik negara yang sama sekali berbeza berbanding dahulu, adakah tanggapan parti serpihan tidak akan kekal lama masih lagi relevan?

Sejarah politik negara menunjukkan hanya dua parti serpihan yang mampu bertahan, iaitu PAS dan PKR (kedua-duanya daripada UMNO).

Parti lain seperti Semangat 46 berkubur pada usia muda, manakala Parti Negara tidak mendapat sokongan ramai.

Maka bagaimana dengan nasib PAN dan parti baharu Tun Mahathir Mohamad iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU-14 akan datang?

PAN diasaskan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Parti ini didaftarkan sebagai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara lantas dilancarkan pada 16 September 2015.

PAN yakin dapat mengambil alih Kelantan daripada PAS pada PRU-14.

Keyakinan itu dinyatakan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berdasarkan sokongan yang diterima parti berkenaan di negeri Kelantan.

Sementara itu, PPBM lahir selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pergantungan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal daripada UMNO pada 24 Jun 2016.

Borang pemohonan untuk mendaftarkan PPBM telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Ogos 2016 oleh Muhyiddin serta AJK penaja parti. ROS juga telah meluluskan penubuhan Parti PPBM pada 9 September 2016.

Dalam politik negara kebanyakan parti serpihan dalam sejarahnya tidak bersifat kekal lama malah banyak yang berkubur dan tidak lagi menarik perhatian rakyat dan pengundi.

Sebagai contoh, Parti Demokratik Bersatu UDP dibubarkan selepas ditubuhkan pada 1962 oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, bekas Presiden MCA (1958–1959), selepas beliau meletak jawatan dan meninggalkan MCA pada Disember 1960.

Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) yang diasaskan oleh Tan Chee Khoon dan Syed Hussein Alatas tidak berjaya menghadapi pilihan raya 1970 dan akhirnya senyap begitu sahaja.

Semangat 46 pula dibubarkan pada bulan Mei 1996 dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim kembali menyertai UMNO Baru.

Begitu juga dengan Parti Demokratik Malaysia (PDM) serpihan DAP turut hilang dari pentas politik negara.

Perjuangan Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) oleh P. Uthayakumar juga hilang dengan membawa kepada tertubuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang akhirnya menubuhkan Parti Hak Asasi Manusia (HRF) pada 19 Julai 2009 yang juga turut senyap di persada politik Malaysia.

PAS juga merakam sejarah perpecahan yang tersendiri. Dalam perpecahan berkenaan lahir parti serpihan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa yang diasaskan oleh Datuk Muhamed Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan 1977 ketika beliau dipecat oleh PAS.

Pemecatan Mohamed Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti campuran dengan BN di Kelantan.

Dalam era 1980-an kumpulan ulama agama mengambil alih kepimpinan pusat PAS daripada puak nasionalis pada Muktamar Pas ke-28, 1982.

Selepas itu muncul pula parti serpihan dengan nama Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) iaitu merupakan parti serpihan PAS yang telah ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh Tan Sri Dr. Asri Muda, bekas Presiden PAS yang meninggalkan parti itu pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam PRU 1982.

Lantaran itu Hamim diasaskan sebagai alternatif kepada PAS dan telah menyertai BN.

Jika melihat kepada sejarah parti serpihan terdahulu, adakah wajar parti politik yang kekal sehingga kini terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandang remeh kewujudan PPBM dan PAN?

Kewujudan PPBM dan PAN tambah menyerlahkan lagi perpecahan dan kekeliruan politik yang berlaku dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

Walaupun belum diketahui sejauh mana kekuatan, termasuk cabaran yang boleh diberikan dua parti itu dalam mencorakkan landskap politik tempatan khususnya pada PRU-14, parti politik sedia ada terutama UMNO dan BN tidak boleh mengambil mudah terhadap kewujudan PPBM dan PAN.

Adakah wajar kita memperkecilkan kewujudan PPBM dan PAN?

Tindakan memperkecil-kecilkan parti baharu itu sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana parti politik termasuk UMNO dan BN dalam jangka masa panjang.

Parti politik dalam negara ini perlu melihat kewujudan PPBM dan PAN dalam konteks lebih positif sebagai cermin diri untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kepincangan jika ada.

Parti-parti politik yang sudah lama bertapak juga perlu meningkatkan lagi keupayaan dan perkhidmatan kepada majoriti rakyat yang memberikan mandat dan kepercayaan kepada parti berkenaan pada PRU-13 yang lalu.

Sebagai parti yang sudah terbukti berjaya meletakkan negara pada tahap yang mana ia miliki sekarang, BN dan UMNO juga tidak perlu menggelabah, sebaliknya parti itu perlu berterusan melaksanakan segala agenda yang dirancang untuk faedah majoriti rakyat.

Biarpun penubuhan PPBM dan PAN pada asasnya berpaksikan kepada kekecewaan disebabkan matlamat tertentu barisan pemimpin pengasasnya tidak dapat dicapai atau dipenuhi namun tetap tidak boleh dipandang sebelah mata, dianggap enteng dan remeh.

Biarlah nasib PPBM dan PAN ditentukan oleh rakyat pada PRU-14 akan datang.

Rakyat juga akan tentukan masa depan negara sama ada kekal di tangan pemerintah sedia ada atau muka lama yang kecewa yang mahu memerintah atas dasar dendam peribadi yang tak sudah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here