BARISAN NASIONAL (BN) bukan sahaja berdepan cabaran untuk menarik sokongan rakyat tetapi cabaran membina solidariti yang kukuh membabitkan komponennya, MCA dan Gerakan.

Walaupun dijangka UMNO masih mampu meraih kerusi terbanyak berbanding parti-parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, namun sekiranya MCA dan Gerakan masih gagal mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing, maka kedudukan BN pasti akan tergugat.

Tumpuan utama yang harus diberikan keutamaan oleh BN adalah mendapatkan kembali undi kaum Cina.

Mampukah MCA dan Gerakan memulihkan sokongan dan kepercayaan kaum Cina kepada BN?

Dalam PRU-13 lalu, prestasi ketiga-tiga komponen BN itu iaitu MCA, Gerakan dan MIC merundum teruk dan seakan-akan sukar untuk dipulihkan.

Pada PRU-13, slogan ‘Ubah! Ini Kalilah’ memberi pengaruh besar terutama dalam kalangan pengundi muda Cina.

Analisis memperlihatkan kira-kira 80 peratus pengundi Cina di kawasan bandar lebih berpihak kepada DAP dan sekutunya. Najib turut menggambarkan PRU-13 sebagai ‘tsunami kaum Cina’.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengalahkan calon popular, bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi di Gelang Patah.

Di Johor, DAP turut menakluk kerusi Parlimen di bandar Kluang, Bakri dan Kulai yang rata-ratanya dibantu sokongan kuat daripada pengundi Cina. Namun DAP tewas di beberapa kawasan seperti di Tanjong Piai dan Labis.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, DAP mengekalkan kerusi Kepong, Bukit Bintang, Cheras, Segambut dan Seputeh.

Di Melaka, bekas Ketua Menteri yang berpindah kawasan bertan­ding dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam turut tersungkur di tangan ‘budak mentah’ PKR dipercayai kesan pe­nangan ‘Ubah! Ini kalilah’.

Apa jasa Shamsul Iskandar Mohd. Akin terhadap orang Cina, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah diberikan Mohd. Ali selama 13 tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka?

Di Negeri Sembilan, Parlimen Seremban terus kekal milik DAP walaupun calonnya Loke Siew Fook menghadapi pertandingan lima penjuru iaitu dua calon Bebas, Berjasa dan BN. Beliau menang dengan majoriti 12,553 undi.

Persaingan di Perak pula, DAP mencatat kemenangan selesa di kebanyakan kerusi Parlimen majoriti Cina, iaitu di Kampar, Beruas, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Taiping.

Sumbangan pengundi Cina juga terserlah di Selangor. DAP meneruskan penguasaannya di kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara (Tony Pua), Puchong (Gobind Singh Deo) serta Klang (Charles Santiago).

Sokongan padu pengundi Cina turut menyum­bang kepada kemenangan pendatang baharu dalam politik iaitu Ong Kian Ming dengan 79,238 undi menewaskan Datuk Yap Pian Hon (BN) 37,032 undi dengan majoriti 42,206 di Serdang.

Kemenangan DAP di kawasan majoriti pengundi Cina menyaksikan gelombang tsunami pengundi Cina pada PRU-13 walaupun gagal menembusi tembok BN untuk ke Putrajaya.

Adakah pengundi Cina akan terus menolak BN pada PRU-14?

Jika benar pengundi Cina masih menolak BN sejak PRU-13, mengapa DAP gagal mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu kuatnya dalam pilihan negeri Sarawak pada Mei tahun lalu?

Kira-kira 10 peratus pengundi Cina beralih angin menyokong BN di Sarawak.
MCA dan Gerakan mungkin perlu ‘belajar’ daripada rakannya, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Jika MCA dan Gerakan boleh kembali menyengat untuk meyakinkan pengundi Cina, jadi tiada masalah besar untuk BN sebenarnya mempertahankan Putrajaya ketika undi Melayu dikatakan akan berpecah.

Sehingga kini, pengundi Cina masih mendakwa orang Cina paling teruk ditindas di negara ini dan undi mereka tidak akan kembali kepada BN sekali pun tidak mengundi pembangkang.

Pada PRU-14 akan datang, dipercayai lebih ramai orang Cina meninggalkan pembangkang tetapi apakah tiket undi itu akan beralih menyokong BN?

Kita tidak tahu bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan tetapi kempen seperti sudah bermula.

Adakah tsunami kaum Cina sekali lagi akan berlaku pada PRU-14?

Atau tsunami Cina tetap berlaku tetapi kali ini versi mengembalikan semula sokongan kepada BN?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here