WAJAR atau tidak PAS meneruskan amalan baiah parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti?

Sejak amalan itu dilaksanakan PAS, ramai pihak yang beranggapan akan wujud kecelaruan jika perkara itu terus menjadi amalan.

Difahamkan, Rasullullah SAW melakukan baiah dengan tujuan supaya umat Islam terikat dengan dasar yang diperjuangkan oleh Islam.

Apa tujuan baiah PAS?

PAS melaksanakan baiah kerana politik hatta untuk menang pilihanraya serta meletakkan calon mereka dipersada pemerintahan.

Ertinya, baiah PAS mengikat rakyat dengan parti itu sedangkan baiah Rasulullah membawa rakyat mendukung dan komited pada Islam.

Parti PAS mahukan rakyat istiqamah dengan parti untuk memastikan mereka menang dalam pilihan raya dan memegang kuasa memerintah.

Inilah sebab kepimpinan PAS melaksanakan baiah dalam kalangan calon yang bertanding pilihan raya.

Tindakan itu juga dibuat kerana bimbang ramai ahli parti itu melompat kepada parti serpihan PAS yang didaftar sebagai PAN.

Rakyat menjadi tergamam apabila ulama parti itu menegaskan, sesiapa dalam kalangan calon PAS yang keluar parti dengan sendirinya akan mengakibatkan isteri mereka dijatuhi talak dan tercerai dengan talak tiga.

Kalangan ahli yang taksub dengan PAS merasakan baiah itu adalah janji dengan Allah sedangkan isu sebenar adalah isu politik yang tidak boleh diguna pakai sebaliknya untuk menghancurkan institusi keluarga.

Apa yang berlaku ini sangat tidak wajar kerana PAS adalah parti politik dan tidak sekali kali boleh disabitkan roh agama dengan politik duniawi.

Bolehkah pemimpin PAS mendakwa bahawa baiah dengan parti itu adalah umpama akur janji dengan Allah?

Islam menggalakkan umat untuk berdakwah meningkatkan martabat dan maruah Islam, bukan untuk mewujudkan parti politik yang membawa kepada keadaan haru biru dalam institusi kekeluargaan dan sengketa dalam masyarakat?

Amat malang bila isu talak dan cerai diguna pakai dalam baiah politik hingga kaum wanita menjadi taruhan.

Tidakkah pelik dan celaru bila seorang suami yang keluar parti PAS terputus pertalian nikah dengan isterinya dengan talak tiga?

Apa jenis politik namanya ini?

Islam adalah agama mulia dengan peradaban yang membanggakan.

Jangan disebabkan hanya mahukan kuasa iaitu politik, agama Islam disalah guna sehingga menimbulkan kecelaruan yang bukan-bukan.

Sekali gus imej Islam akan rosak dan membawa kewibawaan kepemimpinan parti Islam di persimpangan.

Sudah tentu gara-gara baiah ini akan menyakiti ramai keluarga orang Islam.

Ia juga menimbulkan kejutan kepada bukan Islam yang semuanya tahu politik ialah alat untuk mendapatkan kuasa mentadbir dan ini merupakan semata-mata urusan dunia.

Masyarakat Islam akan merasa malu semalu-malunya apabila isu baiah merenggang kasih sayang dalam keluarga Islam kerana politik.

Apakah baiah politik ini boleh menjamin kestabilan dan keharmonian ummah?

Tidakkah pemimpin PAS rasa berdosa dengan cerai berai ekoran baiah yang berpaksikan politik?

Bagaimana nasib wanita yang tertalak kerana suaminya meninggalkan PAS untuk hijrah kepada parti lain?

Kita yakin bila institusi keluarga pincang, masyarakat akan rosak dan agama akan dipersalahkan, walhal tindakan semua ini berpunca daripada perilaku manusia yang gila kuasa.

Jadi, adakah wajar amalan baiah PAS ini diteruskan pada PRU-14?

Cukuplah, berhentilah menggunakan hukum agama untuk dijadikan tali rapuh mengikat ahli PAS.

Berpolitiklah dengan rasional dan menggunakan akal yang sihat.

Bukan merosakkan institusi keluarga dengan amalan politik rakus dan tidak tentu hala arahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here