FELDA dan anak syarikatnya termasuk Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) pasti menjadi perhatian dan tumpuan masyarakat khususnya dalam kalangan pihak yang menentang kerajaan apabila menjelang musim pilihan raya umum ini.

Hal demikian kerana Felda dan FGV mempunyai jumlah pengundi yang ramai di seluruh negara.

Mengapa Felda dikatakan pen­ting pada setiap kali pilihan raya?

Dalam Felda sahaja ketika ini terdapat 54 kerusi Parlimen dan 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tanah rancangan itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka, memiliki satu perempat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen serta 96 kerusi DUN.

Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Di Pahang sahaja, 12 daripada 14 kawasan Parlimennya mempunyai penempatan Felda. Di kawasan DUN negeri itu pula, 27 daripada 42 kawasan adalah Felda.

Kawasan Felda di Johor juga dikatakan dalam kedudukan 50-50.

Pembangkang menyasarkan 29 kerusi kali ini selepas mengejutkan Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan 19 kerusi DUN empat tahun lalu.

Ambil contoh Parlimen Bera di Pahang. Jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen ini adalah sekitar 56,600, sementara pengundi warga Felda berjumlah 23,300 orang mewakili kira-kira 41 peratus daripada pengundi keseluruhan di Parlimen ini.

Majoriti kemenangan calon BN dalam PRU-13 pula adalah 2,143 sahaja.

Secara perkiraan mudah, ke mana perginya undi warga Felda dalam PRU lalu di Parlimen Bera?

Adakah mereka tidak keluar me­ngundi atau memilih pembangkang? Atau mungkinkah kerana wujud sokongan pengundi warga Felda yang menyebabkan BN memperoleh kemenangan tipis di Parlimen ini.

Perkembangan daripada keputusan PRU-13 ini jika masih berterusan di Parlimen Bera mungkin boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk kepada BN.

Bagaimanapun, dalam PRU-13 lalu tidak dinafikan pengundi Felda telah memberi sokongan besar terhadap BN.

Daripada 54 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Felda, cuma dua Parlimen sahaja BN tewas iaitu di Parlimen Raub dan Dungun.

Undi masyarakat Felda juga diakui memainkan peranan besar untuk kemenangan parti-parti politik yang bertanding. Kehadiran generasi baharu kelihatan sudah mengubah iklim politik peneroka, menjadikan kawasan Felda tidak boleh dianggap hak mutlak mana-mana parti lagi.

Isu perumahan generasi ­kedua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka dikatakan antara yang perlu ditangani segera.

Meskipun banyak pencapaian yang baik diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pakatan pembangkang yang diketuai induknya DAP tidak akan berpuas hati atau mengakuinya.

Gerakan-gerakan mencemar reputasi Felda semakin giat diatur untuk menghancurkan ­perpaduan kalangan peneroka dan generasi muda Felda.

Apa pun, Felda masih ada harapan untuk BN khususnya UMNO mengekalkan pengaruhnya.

Beberapa perkembangan mutakhir ini termasuklah peralihan ­kepimpinan Felda meredakan kebimbangan banyak pihak terutama peneroka dan generasi ­keduanya.

Kemenangan beberapa kes di mahkamah yang berpihak kepada Felda turut menaikkan kembali imej Felda.

Terbaharu, isu mengenai tanah milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan bahawa agensi itu berjaya mendapatkan semula hak milik tanahnya di Jalan Semarak melalui satu perjanjian baharu.

Shahrir menjelaskan, perjanjian bersama itu melibatkan unit pelaburannya, Felda Investment Corporation dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) yang bertanggungjawab memindahkan hak milik tanah terbabit.

Kini, menjelang PRU-14, sema­kin jelas kedengaran, warga Felda mula diasak dengan pelbagai cerita.

Pihak yang tidak pernah masuk Felda pun telah mula menunjukkan muka. Segala cerita dibongkar dan dikorek cuma dengan satu harapan untuk meraih undi warga Felda.

Adakah akan berlaku tsunami membabitkan undi masyarakat Felda pada PRU-14 akan datang?

Semoga warga Felda bijak membuat penilaian agar tidak terjebak dalam kepentingan golongan tertentu.

Tentunya warga Felda tidak mahu manfaat dan faedah yang diperoleh selama ini hilang begitu sahaja.

Warga Felda pastinya bijak menilai siapa yang membela kebajikan mereka sejak daripada tanah rancangan itu ditubuhkan.

Mereka juga tentu tahu siapa yang mahu memporak-perandakan situasi dengan isu yang bertujuan meraih undi warga Felda sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here