Seorang aktivis hari ini mempersoalkan langkah beberapa pertubuhan Islam untuk mengadakan tunjuk protes Palestin di luar kedutaan Amerika Syarikat esok bagi membantah keputusan Washington memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Sebaliknya, Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata umat Islam sepatutnya menyasarkan kemarahan mereka terhadap Arab Saudi kerana negara itu bukan sahaja sekutu tegar Presiden Donald Trump di Timur Tengah, tetapi juga membolehkan AS untuk mengumumkan keputusan itu walaupun dibantah masyarakat antarabangsa.

“Trump tidak akan membuat pengumuman sebegini melainkan dia ada penyokong di rantau Timur Tengah. Saya percaya semua orang tahu cerita Mohammed bin Salman (MBS),” katanya kepada FMT, merujuk putera mahkota Arab Saudi yang dilihat bakal menaiki takhta.

“Akhbar The New York Times melaporkan berdasarkan pelbagai sumber bahawa Putera Mahkota Arab Saudi itu memberitahu Mahmoud Abbas (presiden Pihak Berkuasa Palestin) untuk menerima keputusan itu.

“Abbas diberitahu MBS untuk memberi laluan kepada pemimpin lain jika dia tidak akur,” kata Dr Farouk.

Beberapa pertubuhan dan NGO Islam termasuk PAS merancang untuk berhimpun di luar kedutaan AS di Jalan Ampang selepas solat Jumaat esok, bagi membantah keputusan Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Israel sekian lama menganggap Baitulmaqdis, yang mengandungi tempat-tempat suci Islam, Kristian dan Yahudi, sebagai ibu negaranya yang “abadi”.

Tetapi kebanyakan kerajaan Barat mengabaikan gesaan Israel untuk memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis kerana bimbang tindakan tersebut akan memburukkan krisis di Timur Tengah dan rancangan damai Israel-Palestin yang sudahpun rapuh.

Pengumuman Trump hari ini adalah pengunduran daripada dasar AS sejak berdekad lalu untuk tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Dr Farouk berkata walaupun penglibatan Saudi dalam pengeboman Yaman menyebabkan krisis kemanusiaan yang besar, kumpulan Islam masih membisu, sebaliknya hanya menumpukan serangan mereka terhadap kedutaan AS.

“Sangat sedih kerana tiada perhimpunan pernah diadakan apabila Arab Saudi melancarkan peluru-peluru berpandu ke Yaman yang membunuh beribu-ribu dan menyebabkan krisis kemanusiaan yang terbesar di dunia, disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Di mana puak-puak Islamis seperti PAS, Abim atau Ikram?” tanya Farouk, merujuk Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pertubuhan Ikram.

“Kenapa mereka senyap tentang kekejaman yang dilakukan Arab Saudi?” soalnya, dan menambah ia adalah “hipokrasi jelas”.

“Bukankah ini pengkhiantan kepada perjuangan Palestin?”

Dr Farouk menjelaskan Baitulmaqdis adalah bandar simbolik kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Ia adalah bandar yang menggabungkan semua pengikut kepercayaan monoteis iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Ia juga adalah simbol yang menggabungkan puak-puak Palestin yang berperang dengan satu sama lain; yang Islamis, sekular, nasionalis dan juga Kristian
Palestin.

“Hanya Baitulmaqdis mempunyai kuasa untuk menyatukan rakyat Palestin dan hanya Baitulmaqdis yang berada di hati semua umat Islam di dunia.”-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here