KUALA LUMPUR, 9 Sept – Lebih 50,000 orang dari 227 mukim atau daerah di kawasan luar bandar dan kawasan kurang liputan perkhidmatan kewangan di seluruh negara, memperoleh manfaat menerusi program berkaitan pendidikan kewangan.

Pengarah Jabatan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) dan Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia, Arlina Ariff berkata perkhidmatan MobileLINK yang merupakan inisiatif Bank Pusat, bermatlamat berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan kewangan dan meningkatkan lagi penyertaan orang ramai dalam sistem kewangan negara.

“Selain itu, penganjuran program pendidikan kewangan dapat memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan kewangan yang disediakan secara berkesan dan bijaksana dalam pengurusan kewangan mereka, khusus di kawasan luar bandar dan pendalaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Arlina hari ini menyertai sesi Program Rangkuman dan Pendidikan Kewangan di Bario, Sarawak.

Beliau berkata Pejabat Wilayah Kuching turut menganjurkan program seperti ini di 12 daerah dan daerah kecil di kawasan pedalaman Sarawak.

“Lebih 1,000 orang telah mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

Program seumpama ini memberi peluang kepada rakyat di kawasan luar bandar untuk melakukan transaksi perbankan asas seperti membuka akaun, menyimpan dan mengeluarkan wang, membeli Sijil Simpanan Premium dan pembayaran bil.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here