BERBANDING membuat laporan polis, dialog sepatutnya menjadi kaedah terbaik untuk menangani percanggahan pendapat berkaitan Islam, kata pakar undang-undang Perlembangaan Profesor Shad Saleem Faruqi yang sedang disiasat polis kerana salah satu tulisannya yang diterbitkan akhbar tempatan.

Profesor undang-undang terkenal itu mengesahkan laporan polis dibuat oleh Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkaitan rencana tulisannya bertajuk “Religious radicalism on the rise” diterbitkan dalam akhbar The Star pada 23 November lalu.

“Polis sudah merekodkan keterangan saya kira-kira sepuluh hari lalu. Saya akan biarkan polis siasat.

“Niat saya pada dasarnya adalah untuk menunjukkan yang Perlembangaan kita bercampur, hibrid dan jamak. Islam mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi ia masih di bawah undang-undang, ia masih bukan undang-undang tertinggi negara.

“(Dan) saya sentiasa percaya penulisan yang ditulis secara bersederhana tetapi itu (buat laporan polis) hak mereka, saya fikir perkara paling baik untuk dibuat jika saya tulis sesuatu tapi awak tak suka, awak patut tulis jawapan balas. Untuk wujudkan wadah intelektual,” katanya ketika ditemui selepas forum “Does religiosity lead to authoriatarianism?” di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, beliau disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melaporkan dalam laman sesawangnya, Iksim membuat laporan polis terhadap Shad, The Star dan Sin Chew Daily pada hari sama rencana itu diterbitkan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Iksim Profesor Mahamad Naser Disa dipetik sebagai berkata yang rencana itu menggambarkan Iksim sebagai organisasi radikal.

Dalam rencana itu, Shad memberikan maklum balas kepada risalah bertarikh 28 Mac diterbitkan Iksim yang berhujah bahawa “sekularisme, liberalisme dan kepelbagaian budaya adalah perkara yang akan menjejaskan agenda Islam dan menghancurkan kedaulatan negara”.

Tulisnya, beliau terkejut membaca yang Iksim melihat “kepelbagaian budaya” sebagai satu ancaman kepada Islam dan negara.

“Pandangan Iksim menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak bertolak ansur dan kuku besi. Sedangkan hakikatnya, Islam adalah istana budaya dan cendekiawan yang mempunyai banyak bilik (pelbagai ruang). Malah, sejak zaman Nabi Muhammad lagi, kepelbagaian doktrin dan budaya wujud dalam masyarakat Islam,” tulisnya dalam rencana itu, dan turut menambah yang risalah itu mencabar keunggulan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditemui hari ini, Shad berkata beliau menyatakan dalam tulisannya yang pandangan Iksim mengenai Islam dan sistem perundangan hanyalah satu aspirasi.

“Saya mahu menunjukkan gambaran Perlembagaan yang sebetulnya. (Pandangan Iksim) adalah satu aspirasi untuk perubahan tetapi aspirasi tidak boleh dikelirukan dengan realiti.

“Secara peribadi, saya tak ada masalah dengan mereka, (hujah) saya adalah perbincangan akademik dan kebanyakannya boleh ditemui dalam buku saya diterbitkan pada 2009.

“Saya tulis rencana itu untuk kata yang Perlembagaan itu unggul, Islam ada kedudukan yang tinggi tetapi Islam bukan sumber undang-undang negara ini, ia adalah aspirasi tetapi anda perlu bezakan fakta daripada aspirasi,” katanya yang juga menambah beliau tidak cuba memfitnah sesiapa dalam rencana itu.

Profesor emeritus Universiti Malaya itu juga mengatakan yang perdebatan adalah salah satu cara untuk mengembangkan pemikiran rakyat.

“Kita belajar daripada satu sama lain, tiada sesiapa memonopoli kebenaran dan saya juga menerima yang pandangan saya juga perlu berkembang dan berubah tetapi ia perlu dilakukan dalam laras keintelektualan.

“Malah dalam Islam, wujud konsep Shura, konsep Ijtihad, konsep tidak bersetuju. Nabi Muhammad juga ada pengikut yang tidak bersetuju dengannya.

“Dalam kitab suci Al-Quran, perbezaan pandangan dianggap sebagai rahmat, jadi saya fikir selagi mana kita ada niat baik (untuk mengembangkan pemikiran sebagai rahmat) dan setahu saya, tulisan saya itu niatnya baik,” katanya.

Menurut maklumat di laman sesawangnya, Iksim berada di bawah pentadbiran Majlis Raja-Raja dan kumpulan itu bebas daripada pengaruh politik. Ia dibentuk pada 2014 bagi memelihara kedaulatan Raja-Raja dan Islam.

Ia adalah kerjasama antara Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam  (MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( Maiwp) dan majlis-majlis agama Islam negeri.

The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here