PRU14

Suhu panas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) dilihat semakin hari semakin membahang dengan rakyat masih lagi diselubungi teka-teki mengenai tarikh pembubaran barisan semasa kabinet yang seterusnya akan menentukan tarikh PRU14.

Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat untuk meneruskan pentadbiran di negeri Sabah dengan kemenangan 48 kerusi DUN berbanding 60 kerusi sedia ada.

Kemenangan ini dilihat indikator penting dalam menilai penerimaan rakyat Sabah kepada kepimpinan BN walaupun berlakunya beberapa peristiwa yang menggugat penguasaan BN seperti perpindahan beberapa pemimpin kanan BN ke barisan pembangkang negeri. Akibatnya BN kehilangan lebih 12 kerusi DUN pada PRU13, kurang 11 kerusi berbanding PRU12 pada tahun 2008, dan kehilangan 3 kerusi Parlimen berbanding 1 pada PRU12.

Pasca PRU13 menyaksikan kerancakan pendaftaran parti-parti baru di negara ini dengan 22 buah parti baru diluluskan pendaftaran oleh ROS tidak sampai setahun PRU13 berlangsung. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, 4 daripada parti tersebut telah didaftarkan di Semenanjung Malaysia dan 5 di Sarawak, manakala baki 13 di negeri Sabah.

Perkembangan geo-politik di negeri Sabah ini turut dibantu oleh kerancakan sentimen tempatan seperti isu hak negeri, keselamatan, PATI, dan kepincangan kemudahan asas. Usul-usul inilah yang diperjuangkan oleh kebanyakan parti politik tempatan sehingga mewujudkan sebuah perikatan di bawah nama United Sabah Alliance (USA) yang melibatkan Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Air (STAR). Walaubagaimanapun, PCS akhirnya mengumumkan keluar daripada USA berikutan masalah kesefahaman antara kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.

Pertikaian dalaman antara PKR negeri dan pusat berhubung urusan pentadbiran parti di negeri Sabah akhirnya telah mengakibatkan DSP Lajim Ukin – Pengerusi PKR negeri meletakkan jawatan dalam PKR dan menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dengan modal yang sama. Sebuah lagi parti!

Dilema 1MDB turut dilihat memainkan peranan penting dalam perkembangan geo-politik di negeri Sabah yang menyaksikan penggantungan jawatan DS Shafie Apdal (DSSA) daripada UMNO dan seterusnya menyaksikan DSSA meletakkan jawatan dalam parti dan menubuhkan sebuah lagi parti baru yang dinamakan Parti Warisan Sabah (Warisan). Penubuhan Warisan ini dilihat sebagai sebuah fenomena baru dalam geo-politik negeri Sabah dengan beberapa ahli daripada BN dan Pembangkang (i.e DAP dan PKR) memilih untuk keluar parti dan menyokong DSSA.

KEGILAAN MENDAPATKAN KUASA DAN ANCAMAN TERHADAP RAKYAT

Lambakan parti-parti di negeri Sabah ini, di satu sisi, akan menyuburkan lagi sebuah persaingan dalam mengangkat kesedaran politik dan suasana demokrasi di negeri ini. Walaubagaimanapun, tanpa kita sedari, lambakan parti-parti ini akhirnya akan melahirkan sebuah ancaman maha besar kepada rakyat di negeri ini dan pentadbiran negeri khususnya.

Kegilaan mendapatkan kuasa kepimpinan ini akan mengucar-kacirkan sistem politik di negeri Sabah sekiranya pemimpin-pemimpin ini berjaya menduduki singgahsana pentadbiran negeri. Kegilaan ini turut akan menyuburkan dendam di mana pihak yang tidak menyokong akan tersungkur menjadi mangsa pemimpin yang berjaya merebut jawatan yang ditawarkan.

Perkara ini bukan isu baru malah telah berlaku sejak zaman berzaman di negara ini. Hasilnya, rakyat di bawah merana menderita tanpa bantuan sewajarnya. Ibarat gajah sama gajah bergaduh pelanduk mati di tengah-tengah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here