PENDEDAHAN yang dibuat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan baru-baru ini mengenai aktiviti perjudian haram dan pelbagai lagi kegiatan tidak bermoral yang didalangi sembilan orang ketua atau ‘dragon’ tidak boleh dipandang ringan.

Mengambil kira kemampuan kumpulan sindiket ini menjana pendapatan sekitar RM 5 bilion sebulan melalui aktiviti-aktiviti haram tersebut yang turut merangkumi kegiatan pengedaran dadah dan ahlong, rakyat mempunyai kebimbangan yang berasas mengenai pengaruh sembilan orang ‘dragon’ ini dalam agensi dan sistem penguatkuasaan negara.

Jaringan yang dibina kumpulan ini dikatakan sudah terlalu kuat sehinggakan pengaruh mereka sudah pun meresapi pelbagai agensi penguatkuasaan di negara ini. Bahkan, mereka juga didakwa mempunyai kuasa untuk menukarkan mana-mana pegawai penguatkuasa yang dilihat ‘mengganggu’ aktiviti haram yang dilakukan mereka dalam tempoh 24 jam.

Pengaruh Sembilan ‘Dragon’

Secara tidak langsung, jika dakwaan ini benar, ia bermakna kumpulan sindiket ini mempunyai hubungan yang rapat dan kukuh dengan beberapa pegawai atasan agensi penguatkuasaan negara dan keadaan itu semestinya membayangkan kerjasama antara kedua-dua pihak yang sudah lama terjalin samada dalam apa jua bentuk bantuan mahupun wang perlindungan. Kesemua sembilan ‘dragon’ ini juga dikatakan mempunyai gelaran Tan Sri ataupun Datuk Seri yang dibeli bagi mengaburi kegiatan mereka.

Pengaruh mereka tidak terhenti di situ sahaja. Menurut Nadzim, hierarki sistem ‘dragon’ itu telah wujud sekian lama sehinggakan mereka turut mempunyai hubungan dan jaringan yang kuat dengan beberapa rangkaian sistem seumpamanya di negara-negara luar seperti Hong Kong, China dan juga beberapa negara lain. Tambah Nadzim, terdapat individu ternama di negara ini yang menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa tersebut. Jadi, tidak hairanlah bagaimana kumpulan sindiket ini mampu menjana wang dengan begitu banyak.

Jangan Pejam Mata

Dakwaan Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi ini adalah satu dakwaan berat. Ia tidak boleh sama sekali dipandang ringan, apatah lagi mahu dipejamkan mata kerana ianya melibatkan integriti pasukan penguatkuasaan negara selain turut melibatkan ancaman terhadap keruntuhan institusi masyarakat di negara ini.

Pengakuan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini yang turut tidak menafikan kewujudan kumpulan seumpama itu nyata menguatkan lagi dakwaan tersebut. Kenyataan Nur Jazlan bahawa kerajaan sememangnya sedar mengenai kewujudan kumpulan tersebut dan sentiasa memantau aktiviti mereka malangnya tidak begitu membantu, malah ianya jauh daripada cukup untuk ‘menenangkan’ rakyat.

Penjelasan seperti itu boleh membawa isyarat yang salah kepada rakyat, memperlihatkan seolah-olah kerajaan hanya mampu ‘memantau’ dan memerhatikan kegiatan kumpulan itu tanpa berbuat apa-apa sedangkan masyarakat kini semakin tenat berhadapan dengan ancaman judi, dadah dan kegiatan ahlong. Gesaan Nur Jazlan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri agar PPIM tidak terlalu ghairah dalam mendedahkan kegiatan kumpulan kongsi gelap ini juga nampaknya boleh membuatkan rakyat ‘mengerut dahi’.

PPIM Hero Rakyat

Sebagai salah satu kementerian yang tunjang, KDN perlu bertindak lebih baik daripada itu. Walaupun tidak dinafikan tindakan agresif PPIM dalam hal ini boleh mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri, namun sebahagian besar rakyat terutamanya orang Islam sudah mula menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada organisasi yang mereka anggap ‘berani mati’ ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sudah ada cakap-cakap sebahagian masyarakat di luar sana yang mula mempertikaikan keberkesanan peranan yang dimainkan ahli politik dalam hal ini sehinggakan sebahagian aktivis-aktivis PPIM pula digesa bertanding pada pilihan raya umum (PRU) kelak. Pada hemat mereka, PPIM adalah sebenar-benar ‘wakil rakyat’.

Apatah lagi Nadzim dan PPIM sendiri langsung tidak gentar dengan ancaman ‘dragon-dragon’ ini yang dikatakan mahu ‘mengajar’ mereka. Bukannya PPIM tidak tahu kumpulan sebegini sememangnya akan melakukan apa sahaja demi melindungi aktiviti dan kegiatan haram mereka. Ditembak mati ataupun dibunuh dengan apa cara sekalipun adalah risiko yang nampaknya PPIM sedia hadapi. Malah, Nadzim dan beberapa aktivis PPIM sendiri mengakui bahawa mereka telah beberapa kali menerima ancaman bunuh melalui ‘kiriman’ peluru dan sebagainya.

Bukti Dan Siasatan Yang Ditunggu

Nadzim sendiri dikhabarkan akan membuat laporan polis berhubung ancaman yang diterima PPIM selain mengemukakan bukti yang ada berkaitan kewujudan sembilan ‘dragon’ ini dan kegiatan haram yang didalangi mereka. Apa yang didedahkan PPIM beberapa hari lepas bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ianya betul-betul mengejutkan masyarakat setelah melihatkan dakwaan mengenai kuatnya pengaruh dan kuasa yang telah dibina jaringan sistem ‘dragon’ ini dalam agensi penguatkuasaan negara. Mereka tentunya bimbang sekiranya negara ini memang benar ‘dikawal’ sekumpulan gengster ala kartel dadah milik Pablo Escobar di Colombia tidak berapa lama dulu.

Bagi pihak kerajaan dan agensi-agensi yang berkenaan pula, mereka wajib memandang berat terhadap dakwaan ini. Masyarakat yang sudah pun penat dengan berleluasanya kegiatan tidak bermoral seperti perjudian, dadah dan sindiket ahlong sudah tentu tidak mahu dibimbangkan lagi dengan kemungkinan lemah dan korupnya sistem penguatkuasaan negara. Jika PPIM mampu tampil dengan bukti terhadap dakwaan mereka dalam hal ini, kerajaan ataupun KDN khususnya bertanggungjawab untuk menyiasat perkara ini berhabis-habisan sekaligus membanteras kegiatan-kegiatan haram seumpamanya sehingga ke lubang cacing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here