Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu umat Islam menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk memboikot mana-mana hotel yang melaksanakan polisi larangan pekerja bertudung di bahagian khidmat pelanggan atau kaunter depan.

Malah, PPIM turut menyarankan supaya kerajaan tidak mengadakan sebarang majlis atau mengguna khidmat hotel-hotel berkenaan.

“Maka, selepas ini pelanggan sebagai pengguna tak perlu lagi menginap di hotel yang melaksana polisi sebegitu. Pengguna perlu bijak,” kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang dipetik oleh portal Ismaweb.net, hari ini.

Menurutnya, jika tindakan berkenaan secara serius dan konsisten dilakukan oleh pengguna serta kerajaan, maka ia secara tidak langsung memberi tekanan kepada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menukar atau membatalkan polisi itu daripada terus dilaksana di Malaysia.

“Pengusaha hotel-hotel antarabangsa ini perlu tahu Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk majoriti Islam, dan agama Islam sebagai agama persekutuan negara.

“Maka, polisi berkenaan sepatutnya tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan negara. Jika ia dilaksanakan di China atau Perancis, itu tak menjadi masalah kerana rakyatnya bukan majoriti beragama Islam.

“Pengusaha hotel sepatutnya menghormati hak dan kebebasan umat Islam di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, MAH dilaporkan mempertahan tindakan operator hotel melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian kaunter depan (frontdesk).

Presiden MAH, Cheah Swee Hee mendakwa setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

Sementara itu, bendahari MIC Datuk Seri S Vell Paari berkata kenyataan MAH itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi menjurus melampaui batas perkauman.

“Dia beritahu wanita Islam untuk cari pekerjaan di hotel lain jika mereka tidak mahu mematuhi larangan bertudung.

“Saya ingin ingatkan Cheah bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana agama tidak boleh diterima,” katanya.

Menurut Vell Paari, sepanjang pengalamannya yang melawat luar negara, beliau melihat ramai wanita Islam yang bertudung di hotel lima bintang dan ini tidak mendatangkan sebarang masalah.

Katanya, sama seperti isu bantahan orang ramai berhubung perkhidmatan dobi untuk pengguna Islam sahaja di Johor yang mengundang bidasan ramai, kini sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini menentang diskriminasi terang-terangan terhadap wanita Islam di Malaysia.

Vell Paari juga menggesa kerajaan medesak persatuan itu untuk mendedahkan hotel-hotel bertaraf lima bintang yang mengharamkan penggunaan tudung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here