PPBM Selangor hari ini bertegas mahu bertanding di 12 kerusi DUN yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Penerangan PPBM Sallehudin Amiruddin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil mesyuarat parti pagi tadi dan sebarang rundingan terhadap perkara itu tidak akan diterima.

“Jika ada mana-mana parti yang hendak bagi kerusi lebih, kita ‘okay’. Kalau kurang dari itu tidak mungkin,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa rundingan kerusi Pakatan Harapan Selangor hari ini.

Dalam masa yang sama, PPBM Selangor mengumumkan mereka tidak mengiktiraf keputusan mesyuarat 4 parti komponen Pakatan Harapan semalam, yang memutuskan rundingan ke atas 35 daripada 56 kerusi DUN sudah selesai.

Menurut Sallehudin, PPBM membuat keputusan itu sebagai respon kepada tuntutan PKR ke atas 12 kerusi yang mereka inginkan itu.

“PPBM ditubuhkan untuk bersaing dengan Umno dan menggantikan Umno, kerana itulah kita mahu meletakkan calon di 12 kerusi.

“PKR mahukan semua kerusi itu. Maka kita kosonglah. Tidak ada apa-apa keputusan pada hari ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh berkata PH Selangor berjaya menyelesaikan rundingan 35 daripada 56 kerusi DUN, melibatkan kerusi asal yang ditandingi PKR, DAP dan wakil-wakil rakyat Amanah pada pilihan raya umum lepas.

Pada PRU13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP berkurang 1 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti.

PPBM gesa serah kerusi PAS pada Amanah

Sementara itu, Sallehudin mendedahkan mesyuarat jawatankuasa semalam memutuskan kerusi DUN Sijangkang dan Jeram diserah kepada PPBM.

PPBM bagimanapun menolak keputusan mesyuarat memandangkan kerusi itu merupakan kerusi PAS, maka secara automatik ia menjadi kerusi tetap untuk calon daripada Amanah.

“Jeram Umno punya kerusi, Sijangkang Pas punya kerusi. Kita akan letakkan calon di Jeram,” katanya.

Mesyuarat pada hari ini hanya dihadiri 3 parti sahaja iaitu Amanah, PPBM, dan PKR. Amanah diketuai Timbalan Pengerusi Amanah Selangor Saari Sungib, PKR diwakili Naib Pengerusi PKR Selangor Xavier Jayakumar, dan Timbalan Pengerusi PPBM Selangor Datuk Sukiman Sarmani.

Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata, mesyuarat pada hari ini berjaya selesaikan 1 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi berjaya diselesaikan adalah 36 kerusi.

“Hari ini meneruskan perbincangan untuk rundingan kerusi, ada beberapa keputusan kita dapat selesaikan. Kita dapat selesaikan 1 kerusi, lagi 20 kerusi belum selesai,” katanya.

Difahamkan, wakil 3 parti yang hadir mesyuarat hari ini diarah untuk tidak bercakap mengenai pembahagian kerusi DUN. Hanya Xavier, yang juga pengarah pilihan raya PH, dibenarkan untuk menjelaskan perkara berbangkit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here