PPBM yang akan bertanding 5 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 2 kerusi Parlimen di Perlis pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), mengumumkan calon-calonnya hari ini.

Pengerusi PPBM negeri yang juga ketua bahagian Arau merangkap pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Ameir Hassan, 68, berkata beliau dicalonkan bertanding di DUN Pauh yang disandang Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Timbalan ketua bahagian Arau, Maton Din, 58, pula bertanding di DUN Tambun Tulang manakala ketua Wanita PPBM Perlis, Baridah Che Nayan, 50, di DUN Guar Sanji, katanya pada sidang media di sini.

Bekas profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Datuk Dr Abdul Rahman Daud, 67, akan bertanding kerusi Parlimen Arau yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ketua PPBM Padang Besar, Izizam Ibrahim, 40, pula bertanding kerusi Parlimen bahagian itu dan 1 lagi kerusi Parlimen Kangar diperuntukkan kepada calon PKR.

Menurut Ameir lagi, ketua Penerangan PPBM bahagian Padang Besar, Lt Kol (B) Azhar Omar, 55, bertanding DUN Mata Ayer manakala exco Pemuda Kangar, Abdul Hannaan Khairy, 25, di DUN Kayang.

Katanya parti gabungan PH sudah mencapai kata sepakat mengenai kerusi yang akan ditandingi.

PKR akan bertanding di 5 kerusi DUN manakala Amanah di 4 DUN dan DAP, 1 DUN.

“Kami juga patuh kepada pucuk pimpinan parti untuk menggunakan lambang PKR sahaja pada kertas pencalonan kelak,” kata Ameir yang melahirkan keyakinannya beberapa keputusan mengejut dijangka berlaku pada PRU kali ini.

Beliau berkata semua calon PH akan diperkenalkan pada satu majlis di pejabat PKR Perlis di Taman Sena di Kangar pada 24 April ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here