Setiap hari kita didedahkan dengan berita bagaimana Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak agar Kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) segera meluluskan pendaftaran PH sebagai satu gabungan politik yang sah. Malah Tun M dan pemimpin PH begitu mudah menuding jari ke arah ROS dan mendakwa mereka lambat dalam melaksanakan tugas. Malah ada juga menuduh ROS sengaja melambatkan pendaftaran PH kerana tidak mahu gabungan itu menjadi kuat dan mencabar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ini jelas satu tuduhan yang dibuat tanpa apa-apa asas, sebaliknya jelas bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan cuba merosakkan imej sebuah Jabatan Kerajaan. ROS sebenarnya menjalankan tugas berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada dan telah bertindak adil dalam memproses permohonan yang dikemukakan oleh PH. Masalah yang berlaku terhadap pendaftaran PH ini langsung tiada kaitan dengan BN atau pun ROS sendiri. Ia adalah masalah yang dicetuskan sendiri oleh PH dan komponen-komponen yang berada di dalamnya.

PPBM misalnya selalu terlupa tentang masalah dalaman yang dihadapi mereka. Malah parti ini bukanlah parti yang baik untuk dipilih dalam pilihan raya umum akan datang. Parti ini telah membuktikan mereka sebagai parti yang gagal apabila tidak berjaya menyelesaikan masalah dalaman secara baik dan berhemah. Semua masalah hanya diputuskan oleh elit dalam kepimpinan dan tidak mempedulikan suara akar umbi yang sebenarnya menjadi pendokong utama sesebuah parti. PPBM yang kini dilihat sebagai parti paling mudah tewas dalam pilihan raya umum akan terus berdepan tekanan daripada ahlinya sendiri.

Terbaru beberapa bekas exco pemuda PPBM mendakwa ROS wajar mengambil tindakan tegas terhadap parti berkenaan yang didakwa melanggar perlembagaan sendiri. Pelbagai bukti penting telah diserahkan kumpulan ini kepada ROS untuk menilai sendiri kepincangan yang berlaku dalam organisasi PPBM ketika menguruskan mesyuarat agung tahunannya. Malah status mesyuarat berkenaan juga disifatkan sebagai meragukan dan ini menjadi sebab mengapa pendaftaran PH oleh ROS masih tidak dapat diluluskan.

Lebih malang lagi semua ahli PPBM yang bersuara tentang kepincangan mesyuarat agung dan pemilihan PPBM termasuk segelintir pemimpin mereka telah dipecat, hanya semata-mata kerana menyuarakan kebenaran. Jelas di sini kita melihat PPBM merupakan sebuah parti ingkar yang tidak dapat mematuhi perlembagaan sendiri dan bagaimana pula parti kucar-kacir seperti ini mampu untuk mematuhi dan menghormati perlembagaan negara. Masalah yang berlaku kepada PPBM ini ialah ruang terbaik untuk rakyat menilai parti ini dan rakyat harus menggunakan kuasa dengan bijak untuk menyingkirkan parti yang pincang seperti ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here