SEPERTI yang dijangka, PPBM mengungguli dan mendominasi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH). Ini tidaklah menghairankan dengan mengambil kira presiden parti tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya figura terkenal di negeri itu dan pengaruhnya pula dalam arena politik Johor tidaklah boleh diperkecilkan begitu sahaja meskipun tidak lagi bersama UMNO dan BN.

Dalam pembahagian kerusi DUN seperti yang didedahkan pada Ahad, PPBM diberikan mandat besar oleh PH dengan mendominasi 18 kerusi. Sementara itu, DAP pula diberikan 14 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing dengan 12 kerusi. Setakat ini, antara kerusi DUN yang disebut-sebut bakal ditandingi PPBM termasuklah Jorak, Sri Medan, Benut, Kempas, Tanjung Puteri, Parit Raja, Permas, Puteri Wangsa, Tenang dan Endau.
Daripada senarai kerusi DUN tersebut, kita boleh merumuskan bahawa kehadiran PPBM di Johor pada PRU kelak adalah dengan matlamat utama menyaingi dan menjatuhkan UMNO di negeri kelahirannya sendiri. Jika dilihat kepada senarai kerusi yang ditandingi PPBM, jelas parti itu juga kini menyasarkan untuk merampas kerusi Puteri Wangsa yang dimenangi PAS dengan tidak disangka-sangka pada PRU yang lalu.

Sejauh Mana PPBM Boleh Dipercayai?

Berbanding dengan semua parti komponen PH yang lain, PPBM adalah satu-satunya parti pembangkang yang tidak mempunyai “DNA” reformasi seperti yang dimilki oleh PKR, DAP dan juga AMANAH. PPBM adalah parti yang hadir secara tiba-tiba, lahir daripada “kekecewaan” beberapa bekas pemimpin UMNO terhadap kepimpinan sedia ada. Sewajarnya komponen PH yang lain tidak perlu berkongsi “kekecewaan” tersebut yang jelas bersifat peribadi. Namun atas dasar memiliki musuh politik yang sama, apa jua cara dan peluang yang terbentang untuk menentang kerajaan pusat nampaknya terus digunakan dan dihalalkan.

Apa pun, dengan umurnya yang setahun jagung, PPBM jelas parti yang paling tidak stabil, rapuh dan penuh dengan kontroversi dalaman. Dengan usia yang baru menganjak lebih setahun, PPBM tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah. Mutakhir ini sahaja kita melihat begitu ramai ahli parti itu yang bertindak keluar parti dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan PPBM yang ditunjangi Mahathir. Adalah penting untuk mengkaji mengapa perkara ini boleh terjadi memandangkan yang keluar parti itu bukanlah sekadar ahli biasa, malah mereka juga adalah antara individu yang terlibat secara langsung dalam mengasaskan PPBM.

Parti ‘Pusingan U’

Menariknya, individu-individu yang keluar parti ini tidak pula menubuhkan parti baharu. Bahkan mereka secara tersirat kembali menyatakan sokongan mereka kepada UMNO dan BN. Jelas juga di sini bahawa bekas ahli dan pemimpin PPBM sendiri adalah mereka yang gemar membuat “pusingan U”, samalah seperti Mahathir yang tampak kembali menjilat ludahnya apabila memutuskan untuk berpakat dengan pembangkang yang selama ini teruk dikecam dan dikritiknya sendiri.

Jadi dengan mengambil kira faktor ini, rakyat boleh mula bertanya apakah bentuk kualiti yang ada pada wakil rakyat PPBM kelak? Bolehkah mereka dipercayai? Biarpun Johor dilihat sebagai negeri tunjang untuk PPBM, hakikatnya sasaran membentuk kerajaan di negeri tersebut tidaklah semudah itu. BN kini mempunyai 37 kerusi DUN di Johor sementara PH pula 16 dengan baki 3 kerusi lagi dipegang PAS. Mengambil kira undi yang akan sekurang-kurangnya terpecah tiga pada PRU kali ini kepada BN, PH dan PAS, sasaran PPBM untuk mentadbir Johor melalui kerjasama politik dalam PH sebenarnya agak sukar dicapai.

Prospek Kerajaan Campuran Di Johor

Kesukaran itu bermakna BN memiliki peluang yang lebih baik untuk mengekalkan pentadbiran mereka di Johor menjelang PRU kelak. Tetapi tiadalah salahnya untuk PPBM dan PH sendiri menyasarkan kemenangan yang lebih bermakna di beberapa kerusi memandangkan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan setelah mengambil kira bilangan 16 kerusi yang dipegang mereka sekarang. Namun, buat masa ini, situasi paling baik yang mungkin wujud buat PH adalah mengimbangi kemenangan BN di beberapa kerusi DUN di mana dalam situasi tersebut, baik BN mahupun PH masing-masing tidak berupaya membentuk majoriti mudah untuk memerintah. Itu pun jika PH benar-benar dapat mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi BN kini secara signifikan.

Apabila keadaan itu terhasil, maka salah satu pihak perlu mendapatkan sokongan pihak ketiga untuk mentadbir Johor. Dalam konteks ini, PAS semestinya bakal bertindak sebagai parti penentu jika ia berjaya merebut sejumlah kerusi. Namun, bacaan politik semasa menunjukkan PAS mungkin lebih cenderung untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN berbanding dengan PH. Sekiranya perkara itu terjadi, beberapa persoalan dan kemungkinan perlu dilihat dan dipertimbangkan BN.

Sekiranya BN bergabung dengan PAS di Johor bagi membentuk kerajaan negeri kelak, apakah BN sanggup menerima ‘Islamis’ yang konservatif dalam kabinet mereka yang pasti sahaja hadir dengan syarat-syarat tertentu sebelum sebarang persetujuan dibuat? Penganalisis melihat sebarang syarat yang dikenakan PAS nanti mungkin sahaja bertentangan dengan kompromi politik yang telah lama wujud antara UMNO dan komponen BN yang lain di Semenanjung, Lebih penting, apakah komponen BN yang lain itu khususnya MCA dan MIC sendiri bersedia menerima kehadiran PAS dalam pentadbiran di negeri itu? Sentimen politik semasa menunjukkan mana-mana parti bukan Melayu, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang, begitu menentang politik bawaan PAS di negara ini.

Wakil Rakyat PPBM ‘Menyeberang’ Ke Kem BN

Dalam situasi ini juga, BN sebenarnya boleh menimbang kemungkinan yang lain iaitu dengan “memikat” beberapa wakil rakyat PPBM sekiranya parti baharu itu menang di kebanyakan kerusi yang ditandinginya. Dalam kegagalan mana-mana blok politik membentuk majoriti mudah di peringkat DUN, tindakan “merekrut” sejumlah kecil wakil rakyat PPBM sudah memadai buat BN untuk meneruskan pentadbiran mereka di Johor. Mengenali PPBM dan sebab kewujudannya, situasi seumpama ini tidak mustahil boleh berlaku.

Seperti yang disebutkan, PPBM tidak mempunyai ‘naluri’ pembangkang yang sejati, justeru wakil rakyatnya dilihat sebagai yang paling mudah untuk dipikat oleh faktor kuasa. Dengan kebarangkalian rendah buat PH membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, tidak mustahil sebahagian wakil rakyat PPBM menerima “pelawaan” BN untuk membentuk kerajaan di Johor. PPBM adalah parti yang sudah terbiasa dengan kuasa ketika mereka masih dalam UMNO suatu ketika dahulu. Masakan mereka menolak apabila satu bentuk kuasa baharu dalam kerajaan kembali ditawarkan kepada mereka.

Dalam hal ini, PH jugalah yang akhirnya akan berputih mata dan Mahathir serta Muhyiddin akan terduduk kecewa buat kesekian kalinya melihat wakil rakyat mereka sendiri meninggalkan parti pesaing UMNO itu demi kuasa dan jawatan. Tetapi apa boleh buat, itu jugalah matlamat perjuangan yang terlihat jelas dalam PPBM selama ini. Bahkan Mahathir dan Muhyiddin sendiri tahu bahawa mereka tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada wakil rakyat PPBM 100 peratus. Jika tidak, masakan mereka mahu mengkaji penalti RM20 juta yang mahu dikenakan terhadap mana-mana wakil rakyat parti itu yang melompat parti pasca PRU14 kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here