KEPUTUSAN ADUN Anak Bukit, YB Dato’ IR. Amiruddin Hamzah keluar PAS dan menyertai PPBM seperti yang diumumkan beliau kelmarin agak mengejutkan biarpun ramai pemerhati sudah melihat sikapnya yang ‘mesra’ Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Ini kerana, sebelum pengumuman beliau kelmarin, Amiruddin bukanlah seorang yang gemar menunjukkan penentangannya secara terbuka kepada pimpinan PAS, sebaliknya beliau lebih dikenali sebagai seorang yang terbuka dan mudah juga dibawa berbincang.

Dengan menyertai PPBM, tindakan Amiruddin itu membawa kepada satu persoalan baru; mengapa sertai PPBM sedangkan di sana ada AMANAH yang keahlian dan perjuangannya sedikit sebanyak lebih mirip kepada PAS? Sebagai salah seorang ADUN, Amiruddin tentu sahaja tahu bahawa selain BN, PAS adalah parti yang banyak mendominasi politik Kedah lantaran banyaknya institusi pengajian agama selain faktor orang Melayu Islam yang membentuk peratusan besar di negeri tersebut. Buktinya terang dan jelas apabila PAS tanpa disangka-sangka berjaya mengetuai kerajaan negeri pasca pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu.

Tamparan Untuk AMANAH

Penjelasan mengenai pilihan yang dibuat Amiruddin ini tidaklah sukar. Biarpun PAS boleh dikatakan sebagai sudah bertapak kukuh di Kedah, AMANAH walau bagaimanapun masih tercari-cari rentak untuk menyaingi populariti parti Islam itu. Situasi tersebut bukan sahaja dilihat di Kedah, bahkan ianya pasti akan juga dapat dilihat di negeri-negeri majoriti Melayu Islam yang lain di mana Islam muncul sebagai faktor undi terkuat. Selain Kedah, negeri-negeri tersebut termasuklah Kelantan dan Terengganu.

Biarpun AMANAH seringkali mendakwa mereka mampu menyaingi dan menandingi PAS sehinggakan pernah pada satu ketika, Datuk Husam Musa mendakwa parti itu mampu menawan Kelantan, hakikatnya AMANAH masih lagi bergelut untuk membina asas penyokongnya sendiri. Ini sangat berbeza dengan PAS yang telah berjaya membuktikan bagaimana penyokong mereka terus setia bersama kepimpinan parti biarpun mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan pembangkang pada 2015. Buktinya boleh dilihat pada Himpunan RUU355 mahupun himpunan Fastaqim tahun ini yang menyaksikan puluhan ribu penyokongnya turun memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada agenda parti. Situasi seumpama itu tidak kelihatan dalam mana-mana himpunan anjuran AMANAH.

Faktor Populariti Mukhriz

Justeru, apabila bercakap mengenai ‘penghijrahan’ Amiruddin ke PPBM berbanding AMANAH, maka sesuailah untuk disimpulkan bahawa AMANAH tidak begitu berpengaruh di Kedah. Malah, jika disebutkan nama tokoh ataupun pimpinan utamanya di negeri itu, barangkali tidak ramai yang kenal. Penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM dipercayai sangat berkait rapat dengan pengaruh Pengerusi PPBM Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di negeri itu yang sememangnya tidak boleh dipandang ringan oleh BN terutamanya.

Samada suka atau tidak, BN perlu mengakui Mukhriz adalah individu yang bertanggungjawab merampas semula Kedah daripada tangan PAS pada PRU-13 yang lalu. Aura yang ditampilkan melalui personalitinya pada ketika itu berjaya mempengaruhi pengundi Melayu Islam untuk mengalih sokongan mereka terhadap BN. Sebagai seorang anak bekas perdana menteri kelahiran negeri itu, Mukhriz dilihat sebagai penyambung legasi yang ditinggalkan bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad. Biarpun beliau telah meletakkan jawatannya selaku Menteri Besar Kedah berikutan tekanan yang diberikan oleh pimpinan UMNO negeri, pengaruh politik beliau dalam kalangan rakyat negeri itu tampak seakan tidak sedikit pun tergugat dan terhakis.

Di mana-mana sahaja, kita melihat orang ramai khususnya penduduk Kedah membandingkan kepimpinan Mukhriz dengan kepimpinan negeri yang ada sekarang yang diterajui YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Beza populariti mereka dalam kalangan rakyat negeri itu umpama langit dengan bumi. Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan BN buat waktu ini dan tentunya mereka perlu berbuat sesuatu. Perbezaan populariti antara kedua-dua pemimpin ini begitu mudah dilihat dalam banyak majlis dan acara. Contoh terbesar yang boleh diambil kira ialah apabila pasukan bola sepak Kedah mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia baru-baru ini. Bukan rahsia lagi bahawa dalam kedua-dua acara besar tersebut, Bashah telah di’boo’ sementara kehadiran Mukhriz di celah-celah orang ramai pula disorak penyokong Kedah yang mengisi separuh daripada kapasiti Stadium Shah Alam.

Pengajaran Untuk PAS Dan BN

Daripada satu perspektif yang lain, keluarnya Amiruddin daripada PAS sedikit sebanyak perlu membuatkan parti Islam itu untuk segera menekan butang panik. Dalam keadaan ia menjangkakan strukturnya sudah kembali teguh dengan kesetiaan penyokong kepada kepimpinan ulama’, rupa-rupanya di sana masih terdapat pendokong-pendokong PAS yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang dilihat tidak mahu berpakat dengan PH untuk menumbangkan BN. Lebih parah, mereka bukanlah pendokong biasa. Mereka bahkan mempunyai pengikut dan pengaruh. Amiruddin sendiri bukanlah nama baharu dalam PAS. Beliau merupakan mantan Yang Dipertua PAS Kuala Kedah dan turut bertindak sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kedah. Nama dan pengaruhnya sudah dibina sejak 2002, lama sebelum PAS berjaya menakluk Kedah lagi.

Ternyata, di sebalik kemelut yang melanda PPBM dalam isu perbalahan dalaman selain berdepan risiko pengharaman parti oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), kemasukan Amiruddin ke dalam PPBM telah menghadirkan satu perspektif politik yang lebih baik untuk parti itu. Bagi BN pula, ini merupakan satu petanda bahawa pengaruh PPBM di Kedah tidak boleh sama sekali dipandang ringan. Biarpun di atas kertas, PPBM kini hanya mempunyai dua orang ADUN di Kedah, namun keupayaan parti baharu itu mempengaruhi pengundi di sana usah diperkecilkan, lebih-lebih lagi dengan adanya faktor Tun Dr. Mahathir dan Mukhriz sendiri. Sejauh mana BN berjaya mengimbangi pengaruh anak-beranak ini kelak bakal mempengaruhi pola sokongan terhadap parti pemerintah itu menjelang PRU yang akan dipanggil tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here