SELEPAS Negeri Sembilan dan Selangor, PPBM kini ‘bergoncang’ di Kelantan pula. Kelmarin, Naib Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim telah menyuarakan rasa tidak puas hati beliau mengenai pembahagian kerusi DUN yang didominasi AMANAH selain mendakwa bahawa parti lain dalam Pakatan Harapan akan terkesan akibat daripada perpecahan dalaman yang wujud. Kenyataan Hashim itu disokong oleh beberapa ahli PPBM Bahagian tersebut.

Kritikan yang dilontarkan Hashim hadir hanya beberapa hari selepas pemecatan beberapa pemimpin dan ahli parti itu oleh Lembaga Disiplin PPBM yang diketuai Tan Sri Sanusi Junid minggu lalu. Kemelut terbaharu ini nyata mengesahkan lagi hakikat bahawa parti ditunjangi Tun Mahathir itu sememangnya bermasalah dan terumbang-ambing di hampir setiap negeri ‘sasaran’ Pakatan Harapan.

Bercakap mengenai potensi dan peluang PPBM di Kelantan, parti itu juga nampaknya terlebih yakin dan adakalanya sedikit angkuh. Naib Presiden PPBM Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman umpamanya telah memperkecilkan kemampuan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan, AMANAH apabila menyatakan bahawa parti serpihan PAS itu tidaklah mempunyai sokongan sekuat PPBM di Kota Bharu. Entah apa yang merasuk pemahaman dan keyakinan ‘menggunung’ seperti itu, mungkin AMANAH sendiri ingin tahu.

Bukannya rakyat Malaysia tidak tahu, iklim politik di negeri-negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu bukanlah seperti apa yang biasa terlihat di negeri-negeri lain. Ketika iklim politik di negeri-negeri lain mungkin kebanyakannya dipengaruhi hebat oleh isu-isu pembangunan dan ekonomi, suasananya di Kelantan begitu berbeza. Di negeri Serambi Mekah itu, faktor dan pengaruh agama memainkan peranan dengan begitu hebat sekali. Maka jika hendak dibandingkan antara pengaruh PPBM dengan AMANAH, bukanlah susah sangat untuk rakyat menilai parti mana yang lebih ‘Islamik’.

Atas faktor itulah juga UMNO sendiri mahu meletakkan calon yang celik agama bagi menghadapi PAS di Kelantan walaupun kedua-dua parti Melayu Islam itu kini dilihat lebih mesra berbanding dahulu. Pengaruh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilihat kuat untuk menarik undi penduduk Kelantan terhadap BN, sementara PAS pula sudah tentu akan ‘menapis’ semua calon-calon mereka bagi memastikan status parti ‘paling Islamik’ di negara ini tidak sama sekali luntur disaingi hebat UMNO.

Bagi PPBM, AMANAH atau PKR sekalipun, sewajarnya mereka lebih realistik dalam membicarakan peluang Pakatan Harapan di Kelantan. Ketiga-tiga parti ini tidak mempunyai faktor boleh menang seperti yang dimiliki PAS dan UMNO di negeri tersebut. AMANAH mungkin tampil lebih Islamik berbanding kedua-dua sekutunya itu, tetapi pendirian parti itu untuk tetap berpakat dengan DAP di peringkat nasional dan di negeri-negeri lain hanya akan menjauhkan kebanyakan rakyat Kelantan daripada memberikan sokongan terhadap parti tersebut.

PPBM pula sepatutnya perlu sedar mengenai kemampuan sebenar mereka yang tampak begitu gemar berkokok berderai-derai sedangkan ekor masih bergelumang tahi. Pertembungan tiga penjuru dengan UMNO dan PAS sekaligus seakan sudah pasti menipiskan terus peluang parti tersebut di Kelantan. Setakat yang dimaklumi rakyat, PPBM tidak mempunyai figura politik dengan latar belakang agama yang kuat. Maka letaklah siapa pun yang menjadi calon, parti itu hampir pasti menjadi pilihan yang terakhir buat pengundi di Kelantan.

Dalam hal ini, AMANAH juga perlu sedar dan menilai kembali satu hakikat. Sekiranya PPBM sebagai sekutu politik sendiri juga sudah ragu-ragu dengan kekuatan mereka, bagaimana pula parti serpihan PAS itu boleh berkeyakinan dapat mengetuai jentera Pakatan Harapan untuk merampas Kelantan pada PRU kelak?

SHARE
Previous articleAdakah BERSATU Bela Nasib Melayu?
Next articleNFC: Mengapa Muhyiddin Membisu?
Nuh Abqari regards himself as a political scientist who actively does the outdoors, hiking and football in particular. Having led a modest life, he hates every overrated thing. Like Manchester United.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here