KUALA LUMPUR, 1 Sept – Satu misi khas sektor minyak dan gas (O&G) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Indonesia dan Timor-Leste bulan lepas, berjaya menjana potensi jualan eksport bernilai RM1.45 bilion.

Pengarah Bahagian O&G dan Kimia MATRADE, Abu Bakar Koyakutty, yang turut mengetuai misi empat hari bermula 10 Ogos lepas, berkata kebanyakan potensi eksport berkenaan melibatkan perkhidmatan bagi regasifikasi dan kerja-kerja fabrikasi.

“Urus niaga perbekalan itu merangkumi aspek pelekat mekanikal, perkhidmatan kejuruteraan, kerja-kerja kejuruteraan penuh dan reka bentuk, pelincir bagi tujuan penggerudian, habitat dan perkhidmatan keselamatan H2S serta perkhidmatan pemeriksaan binaan saluran paip.

“Ia membabitkan syarikat Malaysia dan pembeli asing. Industri O&G itu masih dalam tahap pemulihan akibat penurunan harga minyak mentah dan ramai pembeli yang mencari bekalan alternatif pada harga kompetitif yang boleh dibekalkan syarikat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Misi yang julung kali dianjurkan MATRADE dengan kerjasama Malaysia Petroleum Resources Corporation, turut menepati objektifnya bagi meninjau peluang di Indonesia dan Timor-Leste.

Inisiatif itu juga membantu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan kedua-dua negara.

Delegasi itu disertai 10 pengeluar dan penyedia perkhidmatan dalam sektor O&G, terutamanya kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Dalam misi itu, MATRADE mengadakan lebih 70 mesyuarat perniagaan untuk peserta Malaysia di Jakarta serta Dili.

Mereka turut menemui pihak berkepentingan di kedua-dua negara seperti Majlis Penyelaras Pelaburan Indonesia, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, SKK Migas, BPH Migas, Pihak Berkuasa Petroleum Negara (ANP) dan Timor Gap E.P.

Misi yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kemampuan Malaysia menyediakan produk dan perkhidmatan O&G, juga membolehkan setiap delegasi mendapat peluang membentangkan kemampuan serta kepakaran mereka kepada pihak berkepentingan berkenaan.

Sebagai agensi penggalakkan perdagangan kebangsaan, MATRADE akan terus mempromosikan kalangan penggiat O&G Malaysia di peringkat global selain menyediakan platform bagi PKS berkapasiti eksport untuk meninjau peluang di peringkat antarabangsa.

Kunjungan itu akan dilengkapkan dengan misi khas O&G MATRADE ke negara lain seperti Myanmar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Vietnam.

MATRADE juga akan meneruskan Program Penyumberan Global (GSP) dengan syarikat multinasional O&G, termasuk program GSP bersama Baker Hughes di Menara MATRADE di sini pada 29 Sept ini.

Maklumat lanjut program itu boleh diperolehi menerusi Bahagian O&G dan Kimia MATRADE di talian 03-6207 7682 atau emel [email protected]

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here