GLOBAL Bersih Jerman dan Switzerland menyertai bantahan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi menggunakan Kementerian Luar sebaliknya melantik Pos Malaysia Bhd untuk mengendalikan undi pos pengundi di luar negara.

“Kami menyokong gesaan Global Bersih untuk SPR kembali menggunakan Wisma Putra untuk menguruskan proses pengundian di luar negara dengan pelaksanaan cadangan Global Bersih untuk menambah baik proses itu,” kata cawangan badan pemantau pilihan raya itu di Jerman dan Switzerland itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka mengatakan kebimbangan mereka adalah tentang kekurangan masa, maklumat dan kebertanggungjawapan proses pilihan raya untuk pengundi pos.

“Tempoh masa singkat (untuk dua minggu pembubaran Parlimen dan penamaan calon) menjadikan ia hampir mustahil untuk pengundi luar negara menggunakan Pos Malaysia, untuk menerima dan mengembalikan kerta undi ke tempat yang betul dalam masa itu.

“Juga tidak jelas bagaimana kertas undi itu akan diterima rakyat Malaysia di luar negara dan bagaimana/ ke mana mereka patut kembalikan kertas undi.

“(Apabila diuruskan Pos Malaysia) anonimiti dan kerahsiaan undi mungkin terjejas tanpa badan terlatih untuk dipertanggungjawabkan bagi proses yang sangat penting itu,” kata mereka lagi.

Bersih 2.0 baru-baru ini meluahkan kebimbangan tentang keputusan SPR membiarkan Pos Malaysia menguruskan proses pilihan raya di luar negara selepas Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah mengatakan agensi itu akan mengambil alih tugas Kementerian Luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here