politik wang

Pilihan raya umum ke-14 bakal menjelang tidak lama lagi dan sudah agak lama kita mendengar cakap-cakap tentang bila tarikh bersejarah ini akan diumumkan. Namun segala-galanya masih belum diputuskan secara muktamad dan berdasarkan kepada situasi semasa agak mustahil untuk pilihan raya ini diadakan pada tahun ini dan 2018 diramalkan menjadi pesta demokrasi paling meriah dengan penglibatan pelbagai parti politik. Suasana yang dirasai lima tahun sekali ini wajar diraikan dengan matang dan bertanggungjawab demi memaparkan wajah Malaysia yang sejahtera.

Namun di sebalik segala usaha untuk memastikan pilihan raya di Malaysia berjalan lancar, masih terdapat satu kekurangan nyata dalam soal pengukuhan integriti calon dan parti-parti bertanding. Walaupun baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan peluang kepada parti-parti politik bertanding untuk menyerahkan nama calon bagi melalui proses semakan dan UMNO menjadi parti pertama yang menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian, namun hal berkenaan hanya berasaskan kepada satu bentuk sukarela dan bukan mengikut peraturan.

Satu hal yang perlu diteliti SPRM kini ialah berkenaan penggubalan peraturan pilihan raya dan organisasi parti yang terkait dengan sumbangan atau dana politik. Tidak salah untuk mana-mana parti menerima sumbangan atau dana politik bagi urusan kelancaran parti masing-masing, namun yang menjadi masalah ialah sumbangan berkenaan mempunyai timbal balas yang berkaitan dengan urusan rasmi sehingga menimbulkan perkara-perkara yang mempunyai kaitan rapat dengan rasuah. Sumbangan atau dana politik perlu dilihat bersih dari unsur-unsur sogokan bagi memastikan setiap calon dan parti politik bertanding bebas daripada sebarang gejala rasuah.

Menurut SPRM, Akta SPRM 2009 tidak meliputi kesalahan berkaitan dana politik atau apa yang selalu orang ramai gelarkan sebagai politik wang. Justeru hal ini sering terlepas dari mata siasatan SPRM dan menyebabkan ahli politik melihatkan bukan satu kesalahan untuk mengamalkan politik wang kerana tidak termasuk dalam Akta atau Peraturan. Walhal politik wang juga merupakan satu bentuk sogokan yang perlu dijauhi.

Pihak pembangkang sering menyalahkan Kerajaan sebagai pengamal budaya politik wang dan menerima dana politik melalui sumber-sumber yang meragukan, walaupun setiap tuduhan berkenaan telah berjaya ditangkis dengan baik. Di pihak pembangkang sendiri mereka masih gagal memberikan bukti tentang dana politik mereka dan hal ini harus dipandang serius. Sumber dana mana-mana parti politik harus dipantau dari sudut perundangan bagi mengelakkan ia disalah guna di samping mampu menjejaskan kepentingan Kerajaan. Namun begitu, di pihak pembangkang sendiri mereka masih gagal membuktikan.

Jika Kerajaan benar-benar mahu menyaksikan peperangan besar-besaran terhadap rasuah, maka peraturan berkaitan sumbangan dana politik dan isu politik wang harus ditangani melalui perundangan dan Akta SPRM 2009 harus diperkasa dengan perkara ini bagi membolehkan tiada lagi mana-mana pihak yang boleh menyalahkan pihak lain dan ini juga memberikan ruang terbaik kepada setiap parti politik yang ada di negara ini mengamalkan ketelusan dalam organisasi dan pergerakan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here