TINDAKAN Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming memuat naik status di dalam laman sosial Facebooknya meminta mendoakan kehancuran Barisan Nasional (BN) di saat umat Islam menyambut Aidiladha adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Kor Ming melalui laman sosial Facebooknya memuat naik status yang meminta mendoakan BN yang rasuah dan pemimpin mencuri duit rakyat akan mampus menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimana seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat boleh memuat naik status sedemikian?

Adakah itu tanggungjawab seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat?

Melalui tindakan Kor Ming itu, adakah ia membuktikan bahawa pemimpin pembangkang khususnya DAP terbukti tidak mempunyai perwatakan yang baik?

Perkara itu membezakan antara pemimpin UMNO dan pembangkang seperti DAP yang mempunyai bahasa yang begitu teruk.

Sememangnya doa orang bukan Islam tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Tetapi melalui tindakan pemimpin DAP itu bukankah ia mesej yang jelas bahawa pemimpin DAP begitu teruk, tidak bersopan dan tidak berbudi bahasa?

Walaupun berbeza pandangan dan parti politik, kita seharusnya mendoakan kebaikan untuk seluruh rakyat.

Adakah itu cara pemimpin DAP berpolitik?

Kenapa sewaktu orang Islam menyambut Hari Raya Aidiladha Kor Ming memuat naik status tersebut?

Adakah Kor Ming sengaja mahu mencetuskan kemarahan orang Islam?

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, Kor Ming seharusnya menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama pada musim perayaan.

Adakah terdapat agenda tersirat di sebalik tindakan Kor Ming itu?

Pada Julai 2016, Kor Ming yang merupakan Ahli Parlimen Taiping menggunakan politik kebencian yang boleh menghancurkan perpaduan kaum apabila mempersendakan sambutan Aidilfitri dalam laman sosial Facebooknya.

Kor Ming memuat naik status gambar mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Tidakkah perbuatan Kor Ming itu merupakan suatu yang biadab selain tidak menghormati budaya dan agama yang diamalkan dalam negara berbilang kaum sejak dahulu lagi?

Parti pembangkang seharusnya membantu usaha kerajaan untuk mengekalkan keharmonian perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan bukan menanam politik kebencian dalam kalangan rakyat.

Adakah memang itu cara DAP melaksanakan politik kebencian?

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan rakan-rakan DAP menghina pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.

Adakah ia membuktikan parti tersebut mempunyai pemimpin kanan yang mempunyai kebencian terlampau terhadap orang Melayu dan Islam?

Kebencian itu bukan hanya di dalam diri mereka, malah disuarakan secara terang-terangan.

Setiap kali mereka mencaci orang Melayu, pasti akan ada pemimpin DAP yang meminta maaf bagi pihak mereka dan setiap kali itulah tidak akan ada apa-apa tindakan daripada parti mereka.

Benarkah bahawa tindakan mereka menghina orang Melayu akan dianggap sebagai wira?

Pemimpin seperti Teresa Kok, Kor Ming dan Jeff Ooi akan terus dihormati.

Tidakkah ia akan memudahkan agenda DAP untuk mematikan semangat kaum Melayu di negara ini?

Yang pastinya, pemimpin DAP akan terus dengan agenda mengikis tembok kesucian agama Islam dan adat resam orang Melayu tanpa menjaga sensitiviti pelbagai kaum di negara ini.

Rakyat seharusnya bijak menilai untuk memilih pemimpin pada pilihan raya umum akan datang.

Jika pemimpin yang tidak ada budaya, kasar dan tidak ada tatasusila, macam mana hendak menjadi pemimpin?

Kalau hendak menjadi pemimpin, perlu ada budi bahasa dan apa yang penting menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Bukankah negara kita sendiri wujud atas kesepakatan kaum dan menjadi ramuan keharmonian selepas 60 tahun mencapai kemerdekaan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here