KEMENANGAN ahli politik muda Austria, Sebastian Kurz dalam pilihan raya umum negara itu hujung minggu lalu berkemungkinan besar bakal meletakkan beliau selaku pemimpin negara yang paling muda di dunia ketika ini. Sebelum ini, Kurz sudah pun ‘mengejutkan’ dunia apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tugasan sebagai Menteri Luar Austria pada usia yang baharu sahaja 27 tahun pada 2013.

Berusia 31 tahun hari ini, pemimpin muda yang lebih popular dengan panggilan “Wonderwuzzi” atau “Wonderkid” itu menang bergaya selepas parti yang dipimpinnya, Austrian People’s Party (OVP) mengetengahkan retorik anti-imigran bagi menghadkan bantuan kepada kumpulan pendatang di Austria selain menyekat atau menghentikan campur tangan Kesatuan Eropah (EU) dalam urusan negara tersebut.

Pencapaian yang begitu luar biasa dan menakjubkan ini menjadikan Kurz sebagai pemimpin muda terbaharu yang berjaya menggoncang status quo politik antarabangsa, sekaligus meletakkannya sebaris dengan beberapa pemimpin muda dunia yang lain. Jika dilihat dari sudut pengaruh di peringkat antarabangsa, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dilihat menjadi perintis kepada trend kebangkitan politik baharu ini terutamanya di Barat.

Pemimpin Muda Sebagai Fenomena Baharu

Macron yang kini berumur 39 tahun sebelum ini telah berjaya membawa satu revolusi politik di Perancis melalui penubuhan partinya, La Republique En Marche! (LREM). Hanya beberapa minggu selepas kemenangannya sebagai presiden, parti pimpinannya itu meraih pula kemenangan besar dan bermakna dalam pilihan raya parlimen di negara itu pada Jun yang lalu.

Fenomena yang serupa kita lihat berlaku di Itali pada tahun 2014 apabila Matteo Renzi dipilih sebagai perdana menteri juga pada umur yang sama, 39. Apa yang menarik, baik Macron mahupun Renzi, kedua-duanya begitu baharu dalam politik di negara masing-masing dan tidak pernah pun dipilih untuk menduduki sebarang kerusi di parlimen. Muda, karismatik dan liberal seolah-olah sudah menjadi acuan dan daya penarik baharu di Barat. Tidak seperti Macron dan Trudeau yang lebih liberal dan terbuka, Kurz walau bagaimanapun adalah sosok yang lebih konservatif.

Ketika Renzi tidak lagi berada di sana selaku perdana menteri Itali, apa yang dicapai Macron, Trudeau dan Kurz dalam arena politik di negara masing-masing membuktikan bahawa pengundi terutamanya golongan muda tidak hanya memandang kepada faktor pengalaman seseorang ahli politik sewaktu proses pemilihan dalam satu-satu pilihan raya. Faktor mudanya seseorang calon itu selain karisma yang dimiliki nampaknya memainkan peranan yang cukup penting di samping faktor retorik politik yang meyakinkan.

Gaya atau Pengalaman?

Trend politik baharu ini sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan mengenai sejauh mana pemimpin-pemimpin muda ini mampu benar-benar menguasai dan memahami corak politik baik di dalam mahupun di luar negara. Dalam era digital serba moden yang didominasi hebat media sosial melalui eksploitasi imej yang bersifat populis, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kekuatan dan sokongan politik hari ini nampaknya banyak bergantung kepada keterampilan dan gaya seseorang pemimpin berbanding pengalaman yang dimilikinya.

Keadaan ini juga menjelaskan bagaimana sesebuah komuniti politik itu mampu dimanipulasi oleh gaya sesetengah ahli politik melalui komunikasi media dan hubungan awam yang berkesan. Dalam beberapa keadaan, ahli politik yang mempunyai penampilan yang menarik, mampu bertutur dan berucap dengan petah seringkali berjaya meraih populariti dalam kalangan masyarakat setiap kali menjelangnya pilihan raya. Sama ada mereka serius dalam mengotakan apa yang mereka ucapkan itu bukanlah perkara utama.

Pikat Hati Orang Muda

Kemenangan Kurz hujung minggu lalu juga memperlihatkan bahawa kejayaan mana-mana ahli politik begitu berkait rapat dengan sejauh mana mereka dilihat dekat dengan citarasa dan gaya kehidupan orang muda. Penampilan Kurz yang seringkali dilihat trendy dengan pemilihan imej smart casual selain rambut yang disikat ke belakang sememangnya mewakili gaya hidup orang muda di Austria.

Malah, imej Barack Obama yang gemar bermain bola keranjang iaitu antara sukan nombor satu di Amerika Syarikat (AS) adalah antara daya penarik yang banyak membantunya meraih kemenangan selaku presiden AS pada 2008. Begitu juga Macron yang dilihat aktif dalam tenis yang menjadi salah satu sukan yang paling popular di Perancis. Trudeau juga tidak ketinggalan melalui imejnya yang gemar berjoging selain selalu tampil bersahaja apabila seringkali dilihat melipat lengan kemejanya ke paras siku.

Kesemua ini mungkin hanya dilihat sebagai faktor kecil, tetapi dengan pelbagai foto seumpamanya dipertontonkan kepada masyarakat khususnya golongan muda, faktor-faktor ‘kecil’ ini akhirnya memperlihatkan kejayaan ketiga-tiga pemimpin ini dalam memahami kuasa yang mampu dijelmakan oleh sentimen politik moden. Dengan penguasaan mereka dalam media baharu, pemimpin-pemimpin muda ini ternyata memiliki kelebihan untuk mendekati pengundi secara terus terutamanya sewaktu dalam tempoh berkempen.

Politik Baharu di Malaysia

Di Malaysia, perubahan ke arah politik moden dan baharu nampaknya semakin meraih tempat walaupun prosesnya berjalan dengan agak perlahan. Kita melihat populariti yang serupa diraih Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan melalui imejnya yang begitu dekat di hati golongan muda. Penampilannya yang bersahaja dan moden selain gaya hidupnya yang aktif bersukan sememangnya dilihat mewakili kelompok pengundi muda dan faktor ini dijangka akan terus membantu beliau mendaki tangga politik tanahair.

Arus politik baharu ini dijangka akan terus mempengaruhi iklim politik tempatan. Dalam keadaan negara kini sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14, parti politik yang menunjukkan kesediaan mereka untuk mengadaptasi perubahan ini tentunya akan mempunyai kelebihan dalam mendapatkan sokongan golongan belia selaku kelompok terbesar pengundi negara. Untuk itu, parti politik yang masih lagi tidak mahu berganjak menerima perubahan ini dan berkeras mempertahankan status quo sedia ada perlu bersedia untuk melihat relevansi mereka dalam politik negara terhakis secara perlahan-lahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here