Polis hari ini memulakan siasatan terhadap tindakan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memecahkan lebih 100 botol arak di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Akhbar TheSun memetik Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat sebagai berkata pihak polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun secara haram.

“Ya, kami terima laporan mengenai kejadian di pejabat kerajaan negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi akhbar itu.

Jamal dan kira-kira 20 orang penyokongnya hadir sambil membawa beberapa peti minuman keras dan tukul besi pada jam 10.15 pagi. Tindakan itu menurutnya sebagai membantah sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Pemimpin Umno itu kemudian memberi amaran kepada pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mengambil mudah terhadap penganjuran pesta itu selain melarangnya diadakan di Selangor.

Jamal kemudian menggunakan sebuah tukul besi lalu memecahkan botol arak yang disusun di hadapan pagar bangun pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu sambil aksinya dirakamkan oleh wartawan dan jurugambar.

Beliau seterusnya berjalan menuju ke kenderaannya dengan meninggalkan tempat kejadian tanpa berkata apa-apa.

Seorang pegawal keselamatan kemudian mengejar Jamal dan meminta beliau dan penyokongnya membersihkan botol-botol yang dipecahkannya itu.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here