Vienna –Kerjaan Austria telah membuat satu kenyataan berkenaan penemuan 71 mayat pendatang asing di dalam sebuah lori yang telah ditinggalkan di tepi jalan raya.

Penemuan itu menjadikan ia tragedi terbaharu melibatkan penderitaan pendatang asing yang berterusan berusaha berhijrah ke Eropah.

Selain itu, sebanyak 76 mayat turut ditemui di perairan Mediterranean berhampiran Libya kelmarin selepas sebuah bot yang membawa pendatang ka­ram, manakala kapal pengawal pantai Sweden yang berlabuh di Sicily turut dipenuhi dengan 52 mayat pendatang.

Mayat tersebut pada mulanya ditemui oleh pekerja penyelenggaraan lebuh raya Austria yang melihat trak ternakan ayam itu tersadai di tepi jalan kelmarin.

Menurut jurucakap polis, Hans Peter Doskozil, setelah didekati, pekerja tersebut menyedari terdapat cecair busuk yang menitis daripada kenderaan tersebut.

Pihak polis yang datang ke lokasi kejadian kemudian membuka pintu trak itu sekali gus mendapati puluhan mayat bertindihan di dalamnya. Trak itu kemudian ditunda untuk pemeriksaan lanjut.

Pakar forensik kini berusaha untuk mengenal pasti mayat yang ada dan berdasarkan keadaan mayat itu, mereka yakin semua mangsa sudah mati dalam tempoh tertentu.

Canselor Jerman, Angela Merkel yang berada di Austria bagi mengha­diri persidangan pemim­pin negara Balkan berhubung krisis pendatang di Eropah berkata, pene­muan mayat tersebut satu berita yang sangat menggemparkan.

“Ia merupakan satu ama­ran kepada kami untuk menangani isu pendatang dengan segera dan dalam semangat warga Eropah, semangat solidariti dan untuk mencari penyelesaian,” kata Merkel.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Austria, Johanna Mikl-Leitner berkata, tragedi itu memberi kesan mendalam buat mereka.

“Ini merupakan hari gelap kita. Penyeludupan manusia adalah satu jenayah,” kata Mikl-Leitner dalam satu sidang media.

Para pemimpin Kesatuan Eropah terpaksa berjuang untuk menangani krisis ini yang menyaksikan hampir 340,000 migran merentasi sempadan blok itu tahun ini, kebanyakannya dari Iraq dan Syria.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here