Datuk Seri Najib Razak, hari ini meluangkan masa melawat pelumba basikal pelapis kebangsaan, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kajang, dekat sini.

Perdana Menteri berkata, doktor yang merawat Nur Rozi Yanti memaklumkan pelumba itu masih dalam keadaan kritikal tetapi menunjukkan perkembangan positif.

“Kita doakan agar dia segera pulih dan kembali sihat,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Facebook miliknya, sebentar tadi. Pelumba pelapis negara berusia 17 tahun itu terbabit dalam kemalangan dengan van pengiring pasukan di Kilometer19, Lebuhraya SILK kira-kira 9.45 pagi, Sabtu lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata, dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri menegaskan akan terus memberi sokongan kepada atlet berkenaan ketika melalui tempoh pemulihan.

Beliau berkata, Nur Rozi Yanti tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan dan sudah boleh berkomunikasi dengan ibunya. Katanya, hospital berkenaan akan melakukan pemeriksaan ke atas paru-paru dan jantung pelumba itu petang ini. “Jika keadaan Rozi mengizinkan, pihak hospital akan memberi makanan pejal untuknya hari ini.

“Dia masih memerlukan pemantauan rapi selepas apa yang dilaluinya. Pemantauan antara 69 dan 120 jam amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” katanya ketika dihubungi.

Sumber: BeritaHarian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here