Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari  ini mengajak masyarakat Islam menyertai Himpunan Solidariti – Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya hari ini sebagai sokongan kepada usaha menentang pengisytiharan kota suci itu sebagai ibu negara Israel.

“Insya-Allah, saya akan sertai Himpunan Solidariti – Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya sesudah solat Jumaat.

“Ayuh sama-sama kita hadir tunjukkan sokongan dan kesepaduan kita umat Islam menentang usaha jadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel!,” kata beliau dalam catatan di akaun Twitter @NajibRazak hari ini.

Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu Baitulmuqaddis pada himpunan berkenaan.

Acara itu, yang akan disertai oleh badan  bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti-parti politik, dijadual dimulakan dengan forum khas dan disusuli solat Jumaat serta solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Baitulmuqaddis.

Pada himpunan itu, hadirin akan mendengar ucapan Najib dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf  Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini mengundang kemarahan masyarakat Islam di seluruh  dunia yang membantah tindakan itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here