Seorang bekas senator PKR menolak gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan.

Saiful Izham Ramli sebaliknya mencadangkan Azizah sebagai perdana menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih jika Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, kata pengarah Strategi PKR Kedah itu, lantikan hanya perlu dibuat sementara (satu tahun) sementara menjalani proses “pemulihan negara”.

“Selepas dari itu dan selepas DSAI (Anwar) secara rasmi dipilih sebagai wakil rakyat, sekali gus dilantik sebagai PM ke-8, baru segala usaha-usaha pemulihan atau reformasi komprehensif institusi-institusi utama negara digerakkan,” katanya.

Anggota Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul kelmarin berkata cadangan untuk melantik Mahathir sebagai perdana menteri dan Azizan sebagai timbalan kini hanya menunggu kelulusan Anwar.

Johari berkata cadangan itu dibuat ketika pemimpin kanan Pakatan Harapan mengadakan pemukiman dua hari di Putrajaya minggu lepas.

Berkaitan peranan Mahathir, Saiful Izham mencadangkan bekas perdana menteri 22 tahun itu dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas kabinet bagi pemulihan negara bertaraf menteri kanan.

Tugas Mahathir, katanya, bagi menasihati perdana menteri dan kabinet selepas pilihan raya umum ke-14 bagi memulihkan dan mereformasikan struktur serta institusi-institusi negara.

“Semua pihak ada peranan tersendiri di dalam kerajaan baru rakyat.

“Yang tiada peranan hanyalah Umno dan sekutu-sekutunya dalam BN yang sudah sekian lama merosakkan ke semua institusi negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here