PKR

Sejak pertemuan yang disifatkan sebagai ‘ziarah biasa’ Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin ke atas Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pelbagai spekulasi dan cakap-cakap politik mula kedengaran dan yang paling jelas ialah mengenai kemungkinan PKR mahu PAS bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH).

Secara umumnya reaksi parti-parti lain dalam PH terhadap usaha PKR ini jelas negatif dan PKR kelihatan tidak menerima sokongan besar untuk menarik PAS bagi menjalinkan kerjasama dengan PH bagi memastikan pertandingan dalam pilihan raya umum akan datang menyaksikan pertembungan satu lawan satu. Ini sebenarnya formula terpenting untuk pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN). Tanpa persetujuan seperti ini, kemenangan yang diharapkan sukar untuk dicapai.

Namun begitu, tindakan pucuk pimpinan PKR ini bukan sahaja tidak dipersetujui oleh rakan-rakan parti lain dalam PH, malah lebih masalah lebih besar kini ialah hal ini telah menyebabkan berlaku pergolakan dalaman PKR. Salah seorang pemimpin kanan PKR yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai anggota Biro Politik PKR kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Azizah dan Azmin yang dilihat berkecenderungan untuk mengadakan rundingan dengan PAS.

Leong dalam kenyataannya menganggap tiada sebarang sebab penting untuk PKR menjalinkan kerjasama semula dengan PAS yang didakwa beliau sudah berkawan dan menjalinkan hubungan baik dengan UMNO. Ini merupakan satu tamparan hebat buat PKR kerana mereka jelas tidak mempunyai kesepakatan dalaman bagi membuat sebarang keputusan politik.

Sebagai seorang anggota dalam Biro Politik keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain sememangnya wajar dibincangkan dalam biro berkenaan dan apabila wujud tindakan tanpa pemakluman seperti ini, wajar untuk Leong bertindak sedemikian. Jelas dalam hal ini PKR merupakan parti yang tidak menghormati organisasi secara keseluruhan dan tindakan diambil oleh pemimpin tanpa sebarang rundingan dan perbincangan dalaman terlebih dahulu. Sebarang keputusan politik penting seperti ini sebenarnya memerlukan pertimbangan secara dalaman dan dipersetujui secara dasar bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan parti.

Namun hal ini tidak dilakukan oleh PKR dan ada segelintir pemimpin dalam parti ini begitu teruja bercakap kepada media tanpa membuat perbincangan penting di peringkat dalaman. Selain itu, keputusan PKR untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik lain khasnya dari sudut untuk menjalinkan kerjasama wajar dibincangkan di pelbagai peringkat dalam PH sendiri. Ini penting kerana PKR telah menyatakan ikrar dan persetujuan untuk membentuk PH bersama-sama parti-parti lain dan hal ini jelas memerlukan konsensus semua parti terlibat.

Sehubungan itu, sebelum memikirkan untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang atau menewaskan BN, PKR sebenarnya perlu melihat kembali kepada asas organisasinya sendiri dan bagaimana proses pembuatan keputusan dilaksanakan. Ini penting bagi mengelak sebarang pergeseran dalaman yang sebenarnya akan menjadikan kedudukan parti berkenaan lebih parah dan dipandang serong dalam gabungan politik sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here