Pendirian

Pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung cadangannya untuk menjalikan kerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada pilihan raya umum akan datang terus menjadi topik perbincangan hangat apabila parti berkenaan masih gagal mengeluarkan kenyataan tegas dan jelas berhubung isu itu. Lebih menghangatkan suasana Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan bahawa gabungan politik itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PAS.

PKR melalui Biro Politiknya yang bermesyuarat semalam (29 Ogos 2017) cuma mengeluarkan kenyataan rasmi untuk terus komited berjuang bersama-sama PH tetapi masih gagal mengeluarkan kenyataan jelas apabila ditanya tentang pendirian parti berkenaan terhadap PAS. Penekanan untuk komited bersama-sama PH bukan satu isu penting kerana pendirian berkenaan sememangnya telah diketahui umum, namun sikap PKR terhadap PAS sehingga kini masih rahsia dan sukar dijangka.

Ini merupakan satu situasi sukar buat PH kerana walaupun PKR menyatakan akan berjuang bersama-sama rakan-rakan parti lain di dalam satu gabungan, namun perihal kerjasama dengan PAS masih belum dibuang sepenuhnya oleh PKR dan kekal menjadi isu penting sebenarnya perlu diselesaikan segera. PKR perlu dilihat sentiasa mengutamakan PH dan bukannya terlalu bersungguh-sungguh mahu mengambil PAS sebagai rakan dalam pertembungan pada pilihan raya umum akan datang.

PKR yang kini sedang terbelah dua kesan daripada isu kerjasama dengan PAS ini sedang meniti perjalanan politik sukar dan mencampakkan diri mereka secara sengaja dalam krisis yang sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal. Malah jika PKR benar-benar komited dengan perjuangan bersama-sama PH, maka parti berkenaan wajar menghormati dan patuh kepada keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH. Namun keadaan ini tidak berlaku dan PKR masih kekal tidak membuat apa-apa keputusan berhubung isu dengan PAS.

Penantian PKR untuk terus bekerjasama dengan PAS sebenarnya boleh dilihat sebagai usaha politik yang sia-sia kerana semalam Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau PH dan PAS memilih untuk terus mengukuhkan Gagasan Sejahtera, gabungan politik yang diasaskannya sendiri. Malah Khairuddin juga sempat menyindir PKR bahawa isu kerjasama dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu timbul kerana PKR sendiri yang dilihat cuba menagih simpati dan sokongan PAS.

Berasaskan kepada kenyataan ini PKR harus sedar bahawa PAS sudah menolak untuk mengadakan sebarang rundingan dan kerjasama, PKR harus fokus kepada satu gabungan sahaja dan tidak terburu-burut mengejar kuasa sehingga melupakan setiakawan di dalam PH. Keputusan harus dibuat segera kerana pilihan raya umum dijangka akan diadakan tidak lama lagi. Malah keputusan segera berhubung isu ini dapat membantu menyelesaikan banyak isu lain seperti pembahagian kerusi, penentuan calon dan menyusun gerak kerja menyeluruh untuk memastikan PH mampu memberikan saingan yang hebat nanti.

Buat masa ini PKR perlu merenung sejauhnya tentang peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran dan janganlah kerana sikap sebegini, kesan negatifnya menimpa keseluruhan gabungan PH itu sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here