Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini menamakan “primadona” PKR di Selangor dan Negeri Sembilan sebagai punca utama konflik di kalangan komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung agihan kerusi.

Dalam catatan blog hari ini, Zaid berkata pemimpin PKR seumpama itu cuba untuk mengimlakkan pakatan itu.

“Mereka bertindak seolah-olah mereka adalah pemimpin de facto pakatan. Di Selangor dan di Negeri Sembilan, mereka mempamerkan warna sebenar mereka.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenai pembangkang, sebelum ada di antara kamu menyerang dan menuduh saya tidak tahu bersyukur.

“Apa yang saya boleh katakan ialah jika tidak ada perubahan dalam pilihan raya yang akan datang ini, ia kerana parti pembangkang gagal mendisiplin dan menguruskan primadona PKR dengan baik,” tulisnya.

Zaid berkata mereka yang menyerang sesama sekutu seolah-olah percaya bahawa kemenangan akan berpihak kepada HARAPAN. Justeru, mereka perlu berebutan sebanyak mungkin kerusi walaupun terpaksa bergaduh di khalayak ramai.

Pergaduhan itu, kata Zaid menyaksikan pengundi Malaysia, yang benar-benar mengharapkan perubahan, mula menjarakkan diri mereka.

“Saya bukan berkempen untuk sesiapa dan juga bukan melobi untuk mendapatkan kerusi. Saya hanya ingin tahu pandangan orang ramai tentang pilihan raya yang akan datang ini.

“Mereka (pengundi) tentunya bimbang apabila melihat pemimpin pembangkang bergaduh sesama mereka.Saya sedang cuba memahami mengapa pemimpin pembangkang bergaduh dan menuduh sesama mereka sebagai pembohong,” katanya.

Walaupun agihan kerusi parlimen HARAPAN di kalangan empat parti komponen di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, berjaya diselesaikan, namun agihan kerusi negeri masihmasih dalam keadaan tidak menentu.

Rasa tidak puas hati jelas terserlah di Selangor, dengan pemimpin PKR dan AMANAH negeri masing-masing membidas satu sama lain. Walau bagaimanapun, pada hujung minggu lalu, kedua-dua parti seolah-olah mengadakan gencatan senjata dan tiada lagi “menyerang” satu sama lain.

Badan pembuat keputusan tertinggi – Majlis Presiden – terpaksa melangkah masuk dan menyelesaikan tuntutan kerusi yang bertindih di beberapa negeri.

Zaid pernah menjadi ahli Umno sebelum menyertai PKR dan kemudian, DAP. Tiada petunjuk jelas jika DAP akan meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here