PKR sentiasa mahu dilihat sebagai parti paling dominan dalam PH. Antara sebab utamanya ialah Anwar Ibrahim merupakan Ketua Umum parti berkenaan dan Presiden mereka, Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang. Namun sejak kemasukan PPBM ke dalam PH, kedudukan PKR dilihat goyah, malah pergeseran antara kedua-dua parti berkenaan kian jelas. Di Selangor misalnya banyak kerusi gagal dimuktamadkan kerana kekerasan hati PPBM dan keegoan PKR dalam bertoleransi isu pembahagian kerusi.

Namun begitu, di negeri seperti Kelantan, PKR bukanlah jaguh kerana semasa pilihan raya umum ke-13, PKR banyak mendapat bantuan daripada jentera PAS untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan. PKR boleh dianggap sebagai parti yang lemah di negeri berkenaan. Kini PAS tidak ada lagi di dalam PH dan nasib PKR di Kelantan sedang melalui perjalanan sukar kerana faktor dana dan jentera yang dilihat tidak menyebelahi mereka.

Satu perkara yang agak mengecewakan ialah di sebalik kekurangan yang ada, PKR masih mengekalkan ego untuk bertanding lebih banyak kerusi di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang. Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir telah mengumumkan bahawa PKR akan betanding di 15 kerusi DUN di negeri berkenaan. Tindakan PKR mahu bertanding kerusi yang banyak seperti itu dibuat tanpa pertimbangan politik yang jelas.

Pengaruh PKR di Kelantan tidak sebesar PAS malah jika dibandingkan dengan PPBM dan AMANAH juga PKR masih ketinggalan. Justeru untuk bertanding dalam jumlah kerusi yang banyak, PKR secara jelas telah gagal dalam menilai kemampuan sendiri termasuk pengaruh yang ada di Kelantan. Perasaan merasakan diri sendiri sebagai kuat merupakan penyakit yang melanda PKR. Ini kerana mereka merasakan kekuatan di peringkat Pusat boleh dibawa sehingga ke peringkat negeri, tanpa menyedari hakikat bahawa mereka ialah pembangkang paling lemah di Kelantan.

Malah dalam satu maklumat yang diterima, sebahagian ahli jawatankuasa pimpinan PKR di Kelantan merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan tidak mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi. Ini sudah tentu menyukarkan gerak kerja dari sudut politik dan kempen termasuk menyusun jentera bagi menghadapi pilihan raya nanti. PKR diramalkan bakal menumpang jentera AMANAH dan PPBM seperti yang dilakukan sebelum ini dengan PAS. Berdasarkan kepada senario ini PKR tidak wajar untuk mengangkat ego mereka dan bertanding di luar kemampuan yang ada.

Rasa tidak puas hati AMANAH dan PPBM terhadap usaha PKR untuk bertanding 15 kerusi DUN menguatkan lagi pergeseran yang sedang berlaku di dalam PH. Malah keupayaan PH untuk merampas Kelantan dari PAS juga akan menurun dengan kedegilan PKR untuk terus bertanding dengan jumlah kerusi yang banyak ini. Manfaat besar bakal diperoleh UMNO dan BN jika keadaan ini terus berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here