Jika di Malaysia ini diwujudkan anugerah parti politik paling kelakar sudah tentu dengan yakin dan mudah Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mencapai kemenangan. Walaupun di dalam keanggotaan Pakatan Harapan (PH), parti ini merupakan parti kedua paling berpengalaman selepas Parti Tindakan Demokratik (DAP), namun tindakan yang dilaksanakan parti ini tidak mencerminkan kematangan usianya. Pelbagai keputusan kelakar berlaku kepada parti ini sejak tahun lalu dan ini semua melihatkan bagaimana parti ini tidak memiliki keupayaan kepimpinan yang kuat.

Dari dahulu sehingga sekarang kita tidak pasti sama ada PKR ini ialah parti yang memperjuangkan keadilan untuk rakyat atau keadilan untuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepanjang penglibatan parti berkenaan dalam sejarah politik negara, kebanyakan masa perjuangannya dihabiskan dengan usaha membela Anwar. Malah usaha ini termasuk dalam agenda paling penting parti. Lebih daripada itu, di kala Anwar dilihat semakin hilang taring, parti berkenan masih bersungguh-sungguh mahu cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri dapat dicapai.

Sewajarnya sesebuah parti itu berdiri bukan kerana pengaruh dimiliki pemimpin yang membina parti berkenaan, tetapi sesebuah parti itu wajar berdiri di atas dokongan kuat ahli-ahlinya sendiri. Seperti UMNO yang melihatkan bagaimana pemimpin bersilih ganti, namun UMNO terus kekal dan kuat sebagai parti paling kukuh dalam sejarah politik Malaysia. Kebergantungan kuat PKR kepada Anwar merupakan faktor utama Parti ini masih tidak mampu mencapai kestabilan, kerana ia sebenarnya menafikan peluang untuk pemimpin lain yang mungkin mempunyai kaliber untuk muncul memimpin.

Kita sering melihat bagaimana pembangkang sering menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan kronisme dan nepotisme. Tuduhan ini sebenarnya dibuat tanpa asas. Secara benarnya parti yang mengamalkan kronisme paling kuat dan dibina atas dasar kekeluargaan ialah PKR. Lihat bagaimana kepimpinan utama PKR didominasi oleh keluarga Anwar sendiri. Anwar bertindak sebagai Ketua Umum, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan anak perempuan mereka, Nurul Izzah menjadi Naib Presiden. Ini merupakan satu hal kelakar untuk menuduh orang lain mengamalkan kronisme, tetapi tidak melihat kepada kekurangan yang ada pada diri sendiri.

Permatang Pauh sering dilaung-laungkan sebagai kubu kuat PKR dan kawasan ini sering digunakan sebagai medan utama untuk mencaturkan kuasa parti ini. Lihat bagaimana Wan Azizah dan Anwar bersilih ganti menduduki kerusi sebagai Ahli Parlimen di sana dan rakyat di Permatang Pauh diibaratkan seperti bidak catur yang digerakkan sesuka hati mengikut perkiraan dan kepentingan politik mereka.

Bahan kelakar paling baru yang menjelma di dalam PKR ialah bagaimana parti berkenaan terbelah dua terhadap persetujuan untuk PH melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang itu. PKR di Selangor yang memiliki pengaruh kuat serta dipimpin oleh Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, jelas tidak bersetuju dengan pencalonan berkenaan dan berlakulah suara tidak puas hati di dalam PKR. Lebih mengharukan suara tidak puas hati ini lebih selesa menggunakan ruang media massa untuk meluahkan rasa tidak puas hati ini, berbanding menyelesaikannya menggunakan kaedah dalaman.

Inilah wajah parti politik yang cuba menjadi alternatif kepada parti pemerintah sekarang. Wajah ini jelas memberikan pandangan negatif rakyat di samping menjelmakan tindakan tidak meyakinkan. Mereka lebih gemar bermain politik daripada menyelesaikan masalah rakyat serta lebih suka mencatur kedudukan masing-masing daripada membela nasib rakyat biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here