PKR masih lagi sangsi dengan tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka akan mengumumkan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pada konvensyen PH yang diadakan Ahad ini. Pemilihan Tun Mahathir boleh memecahbelahkan keadaan politik di kalangan ahli PKR sendiri. Keadaan PKR dapat difahami memandangkan asas parti itu berakar daripada gerakan Reformasi yang menentang Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, serta hakikat yang parti itu sentiasa menamakan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Awal Disember lalu, pimpinan tertinggi HARAPAN setuju untuk menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar dan presiden PKR, sebagai calon timbalan perdana menteri.

PKR bersetuju dengaan ketetapan itu tetapi meletakkan beberapa syarat, antaranya komitmen parti komponen yang kerajaan HARAPAN akan meneruskan usaha membebaskan Anwar dan melantiknya sebagai perdana menteri.

Difahamkan kepimpinan PKR kini berada di persimpangan jalan.

Sementara tindakan mencalonkan Mahathir adalah langkah strategik terutama untuk menarik undi Melayu, parti itu bagaimanapun berisiko kehilangan sokongan penyokongnya yang suatu ketika dulu melihat Mahathir sebagai musuh utama.

Walaupun agenda utama konvensyen adalah pengumuman calon dua jawatan tertinggi itu – perdana menteri dan timbalan perdana menteri – sumber berkata perwakilan juga dibenarkan membahaskan soal dasar.

Seorang lagi sumber berkata agenda terperinci konvensyen yang bakal diadakan di Shah Alam akan ditetapkan majlis presiden.

Konvensyen itu merupakan peluang terakhir bagi perwakilan untuk berbahas dan mempersoalkan dasar gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke 14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here