PKR Kelantan masih menunggu arahan rasmi daripada parti untuk melepaskan jawatan lantikan politik di negeri itu, kata pemimpinnya.

Pengarah komunikasi PKR negeri itu Mohd Sukirman Mustapa berkata pihaknya akan akur kepada apa saja arahan pimpinan pusat.

Bagaimanapun, Sinar Online melaporkan Mohd Sukirman memberi penjelasan keputusan muktamad akan diumumkan pihak majlis pimpinan negeri,

“Ia berikutan ada arahan yang belum dikeluarkan secara rasmi.

“Apa-apa arahan yang akan diumumkan pihak Majlis Pimpinan Negeri, akan kami akur dan bertindak segera,” katanya.

Pada 16 Mei lalu Biro Politik PKR mengarahkan semua anggota parti yang mendapat lantikan ke jawatan kerajaan PAS supaya meletakkan jawatan.

Arahan itu menyebut, peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Membacakan kenyataan itu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata arahan berkenaan telah disampaikan kepada pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

“PKR juga telah membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR di dalam kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Prinsip lebih utama

Pendirian itu dibuat ekoran keputusan PAS memutuskan kerjasama politik mereka dengan PKR.

Peguam serta bekas senator, Saiful Izham Ramli, menyarankan isu polemik kerjasama politik itu tidak harus dihadkan kepada kedudukan PAS dan PKR di Selangor, sebaliknya turut mengambil kira keadaan di Kelantan.

Tidak seperti di Selangor yang diketuai PKR, Kelantan pula dikuasai PAS.

Kata Saiful Izham parti itu perlu mengarahkan semua anggotanya yang mendapat lantikan politik daripada Kota Darulnaim supaya meletakkan jawatan masing-masing. – Malaysiakini –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here