stindl

SAINT PETERSBURG: Tolakan mudah Lars Stindl, susulan kesilapan babak pertama Marcelo Diaz, sudah cukup membolehkan Jerman mengatasi Chile 1-0 pada final Piala Konfederasi, awal pagi tadi.

Kelalaian Diaz menyaksikan Timo Werner berjaya merampas bola, mengumpan penjaga gol untuk keluar sebelum bertindak menghantar bola kepada Stindl yang hanya menolak bola ke dalam gawang yang tidak dikawal.

“Sukar dipercayai ,” kata kapten Jerman, Julian Draxler yang menerima anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

Katanya, mereka berjuang sebaiknya dan berhak mendapat kemenangan itu. “Kami tidak pernah bermain bersama sebelum kejohanan, dan ini menjadikannya lebih bermakna.

“Setiap gelaran adalah istimewa, tetapi dengan pasukan muda ini, ia lebih lagi. Sekarang kami semua boleh bercuti – dan membawa trofi bersama kami, ” katanya.

Ini adalah kali pertama Jerman, juara bertahan dunia, memenangi Piala Konfederasi dalam edisi kelapan kejohanan pra-Piala Dunia itu.

“Kedua-dua pasukan tidak banyak berbeza. “Kami sedih tidak menang, tetapi kami bermain menentang pasukan kelas dunia dan perlu belajar daripada kesalahan kami, ” kata kapten Chile, Claudio Bravo yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Werner, Stindl dan Leon Goretzka masing-masing menamatkan saingan dengan tiga gol tetapi penyerang RB Leipzig, Werner memenangi anugerah penjaring terbanyak dengan kelebihan dua umpanan gol.

Walaupun menguasai permainan, Chile gagal menterjemah 61 peratus penguasaan dan 20 percubaan kepada kemenangan, berbanding Jerman yang hanya menghasilkan lapan percubaan. AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here