Pembangkang mewujudkan unsur desakan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila mahu ‘membebaskan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengampunan bagi membolehkan Ketua Umum PKR itu menjadi perdana menteri selepas keluar dari penjara.

Ia berikutan kenyataan pembangkang yang mahu mengusahakan pengampunan bagi Anwar untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri kelapan jika gabungan itu memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata sekiranya Anwar dilantik menjadi perdana menteri bermakna ada unsur pemaksaan terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan jenayah beliau.

“Negara kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa meliputi legislatif, eksekutif dan kehakiman, Perdana Menteri tidak boleh campur tangan terhadap pengampunan seseorang.

“Ia dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Baginda berkuasa memberi ampun atau menunda hukuman. Jika Perdana Menteri campur tangan bermakna wujud unsur pemaksaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan pakatan pembangkang melantik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan kemudian akan digantikan Anwar selepas mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut undang-undang, Anwar tidak dibenarkan bertanding pilihan raya atau memegang jawatan politik selama lima tahun daripada tarikh pembebasan dari penjara. Anwar dijangka dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun ini.

Abdul Halim berkata, janji pembangkang itu menunjukkan mereka sanggup lakukan apa saja untuk mencapai cita-cita politik walaupun terpaksa mendesak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan.

Katanya, pakatan pembangkang ‘cakap tidak serupa bikin’ kerana selama ini menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mencampuri badan kehakiman negara termasuk menyebabkan Anwar dipenjara.

Beliau berkata, melantik Anwar sebagai perdana menteri bukan saja sukar dan melanggar undang-undang tetapi terpaksa ‘mengorbankan’ Ahli Parlimen lain untuk mencapai cita-cita politik beliau.

“Kita juga tidak tahu, sama ada Anwar boleh memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) atau sebaliknya. Kalau menang pun adakah wujud undang-undang untuk membersihkan kes jenayah beliau?

Pakar undang-undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata setiap banduan di negara ini berhak memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong atau Raja, namun belum tentu bersih untuk menjadi pemimpin.

“Lepas itu pula mereka akan berhadapan PRK bagi membolehkan dilantik sebagai Perdana Menteri. Kita tidak boleh menjangkakan, sama ada boleh menang atau sebaliknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here