Keputusan barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri jika gabungan politik berkenaan menang dalam pilihan raya umum akan datang terus menerima sambutan dingin dari dalam PH sendiri.

Sehingga kini, tiada mana-mana pemimpin PH yang mengeluarkan kenyataan konkrit menyokong pencalonan berkenaan. Senyap sunyi dalam kalangan pemimpin PH menimbulkan pertikaian sama ada cadangan berkenaan benar-benar dibuat secara konsensus atau tiada pihak yang berani bersuara menentang Tun M di dalam PH.
Jika kita membaca kenyataan-kenyataan yang muncul dari pemimpin PH sebaik sahaja cadangan ini diketengahkan, ramai yang cuba berselindung dan tidak menyatakan pandangan secara jelas. Tidak bersetuju juga tidak disebut dengan nyata dan bersetuju juga tidak didengar sehingga ke hari ini.

Tindakan pemimpin PH ini sebenarnya meletakkan kedudukan gabungan politik berkenaan dalam keadaan mengelirukan. Bukan sahaja bertujuan mengelirukan rakyat, tetapi gabungan itu sendiri sedang berada dalam kekeliruan yang serius.
Ketua Sekretariat PH, Dato’ Saifuddin Abdullah misalnya melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik untuk muncul sebagai Perdana Menteri PH, tetapi disebabkan hukuman penjara yang sedang dilalui ini membataskan keadaan dan Saifuddin juga berada dalam keadaan berbelah bahagi turut mengeluarkan kenyataan melihat Tun M sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu.
Jelas dari sini kita melihat Tun M itu tidak diterima secara menyeluruh sebagai calon Perdana Menteri PH, tetapi diangkat disebabkan PH sudah tidak memiliki calon lain yang lebih bersesuaian dan PH sebenarnya kontang dari sudut kepimpinan. Ini satu kemungkinan nyata yang melihatkan Tun M boleh mendominasi gabungan pembangkang sehingga mewajarkan beliau untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekali lagi.
Tiada mana-mana pihak di dalam PH yang sehingga kini menyatakan sokongan padu kepada Tun M. Barisan Pemuda PH misalnya lebih selesa memilih Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali sebagai Perdana Menteri PH. Golongan muda di dalam PH selesa dengan Azmin yang dilihat lebih sesuai dan segar untuk ditampilkan sebagai pemimpin utama.

Namun, sikap berpuak-puak yang nyata di samping ketakutan untuk menolak Tun M yang telah dicadangkan oleh kepimpinan tertinggi membuatkan suara orang-orang muda ini dibungkam begitu sahaja.
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) juga dilihat cuba mengelak daripada dikaitkan dengan keputusan PH mencadangkan Tun M sebagai Perdana Menteri. Ini jelas satu bentuk penolakan, namun penolakan ini tidak dinyatakan secara jelas kerana bimbang dan gentar dengan kuasa serta pengaruh yang ada pada Tun M.

Keadaan ini memberikan kita gambaran nyata bahawa PH kini bukan bergerak atas kerangka konsensus dan kekuatan secara jemaah, tetapi dikuasai oleh seorang bekas Perdana Menteri yang bercita-cita mahu berkuasa semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here