PPBM Selangor hari ini menjelaskan pertikaian dalam Pakatan Harapan negeri (PH Selangor) tentang pengagihan kerusi DUN di Selangor menjurus kepada kerusi-kerusi Umno dan PAS.

Pengerusi Datuk Abdul Rashid Asari berkata PPBM Selangor akan memanfaatkan lanjutan tarikh tutup rundingan pengagihan kerusi DUN untuk mencapai persetujuan dengan Amanah, yang dijangka menyasarkan kerusi-kerusi PAS.

“PPBM fokus kepada kerusi yang di menangi Umno, kita minta 12 kerusi, selebihnya kita akan berbincang dengan Amanah,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan perayaan Hari Ponggal peringkat Kapar hari ini.

Dalam kedudukan sekarang, Umno mempunyai 12 kerusi DUN sementara PAS mempunyai 13 kerusi.

Sementara itu, Rashid berkata soal pembahagian kerusi ada dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa pilihan raya PH Selangor sebelum ini, namun perbincangan itu tidak disertai semua pucuk pimpinan parti komponen.

“Tiap kali kita mesyuarat pucuk pimpinan tidak hadir. Walaupun perbincangan dibuat, keputusan tidak boleh dibuat. Kalau semua pengerusi 4 parti hadir, saya ingat dah selesai dah,” katanya.

Berdasarkan kenyataan pimpinan PH sebelum ini, semua kerusi yang dimenangi ahli-ahli parti komponen PH di Selangor akan kekal milik penyandang.

PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. Dua lagi kerusi, iaitu DUN Pelabuhan Klang dan DUN Telok Datok disandang oleh wakil rakyat bebas, iaitu bekas ahli PKR Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas ahli DAP Loh Chee Heng.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Selangor Xavier Jayakumar memberitahu pemberita PKR berhasrat untuk bertanding di semua 12 kawasan yang ditandingi partinya pada PRU13.

Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa oleh Azmin.

Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14. Reaksi Amanah dan DAP itu menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya dimuktamadkan 31 Januari lalu terpaksa dilanjutkan untuk seminggu lagi berikutan pertikaian antara parti komponen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here