TIGA parti dalam Pakatan Harapan Selangor mengambil pendirian berbeza daripada PKR Selangor apabila menyokong penuh semua keputusan gabungan pembangkang itu termasuk menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM Pakatan.

Pendirian berbeza itu dinyatakan dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Bersatu, DAP dan Amanah negeri Selangor hari ini.

“Kami ingin menegaskan sokongan tidak berbelah bagi terhadap semua perisytiharan yang dibuat di Konvensyen berkenaan,” kata kenyataan media itu.

Kenyataan media tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari.

Ketiga-tiga pemimpin negeri itu turut menyeru semua pihak bersatu hati dan tekad untuk memastikan PH menang dalam pilihan raya umum ke-14 “demi menyelamatkan rakyat dan negara tercinta”.

Ini adalah kenyataan terbuka kedua yang tidak senada dengan PKR Selangor selepas sayap pemuda PKR Selangor sendiri membuat pendirian yang bertentangan dengan parti negeri, menyokong pencalonan Dr Mahathir jadi perdana menteri PH.

Konvensyen PH di Shah Alam pada Ahad lalu mengumumkan kata sepakat empat parti yang bergabung, antaranya, mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri apabila menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Konvensyen itu turut mengumumkan persetujuan empat parti tersebut mengambil langkah mendapatkan pembebasan segera Anwar Ibrahim untuk jadi menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Ia juga mendedahkan muafakat parti-parti dalam pengagihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang akan ditandingi oleh Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Pada malam yang sama selepas pengumuman PH itu, PKR Selangor melalui Ketua Biro Komunikainya, Hizwan Ahmad menyatakan tidak setuju dengan penamaan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

“Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, PKR Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon perdana menteri Pakatan Harapan,” kata Hizwan dalam satu kenyataan.

Bantahan itu disuarakan oleh PKR Selangor walaupun Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam mesejnya kepada konvensyen yang dibacakan oleh anaknya Nurul Izzah, berkata beliau menerima keputusan bersama yang dicapai oleh gabungan empat parti itu.

Ucapan itu dibacakan sebelum pengumuman pencalonan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah.

Keputusan itu juga umumnya disambut baik oleh ahli-ahli PKR yang hadir pada konvensyen yang menyifatkannya sebagai realistik dan mengutamakan agenda perubahan yang dilaungkan oleh PH.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam berkata parti itu tidak bimbang dengan bantahan ahli-ahli PKR yang kecewa PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, dan menganggap ia bukan perkara yang besar sehingga boleh menjejaskan persiapan PRU14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here