89 kerusi

PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Pakatan Rakyat yang pada masa itu dianggotai DAP, PKR dan PAS memenangi 89 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, 38 kerusi dimenangi DAP, PKR (30) dan PAS (21 kerusi).

Kini, Pakatan Rakyat yang dibubarkan sudah menjadi kenangan kerana PAS mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

Maknanya, pembangkang hari ini sudah membentuk gabungan baharu dinamakan Pakatan Harapan sekali gus menggambarkan mereka telah kehilangan kira-kira 21 kerusi.

Bagaimanapun, ada juga di dalam kalangan bekas wakil rakyat PAS menyertai parti serpihannya, PAN diketuai Mohamad Sabu yang menyertai gabungan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan sebenarnya tetap sudah kehilangan banyak kerusi Parlimen selepas tiada lagi PAS dalam Pakatan Harapan.

Persoalannya, mampukah Pakatan Harapan untuk mengekalkan 89 kerusi Parlimen sama seperti yang dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU-13 lalu?

Adakah gabungan baharu Pakatan Harapan iaitu PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh menyumbangkan kemenangan kerusi Parlimen sama seperti PAS?

PAS diakui mempunyai kekuatan sendiri di beberapa kerusi Parlimen di negara ini.

Bagaimana pula kekuatan PAN dan PPBM?

Adakah parti baharu itu dikenali dan mendapat sokongan rakyat?

Tentunya Pakatan Harapan kini sedang memikirkan cara bagaimana untuk mendapatkan jumlah kerusi Parlimen sama seperti yang disumbang PAS sebelum ini?

Pada PRU-13 lalu, Pakatan Rakyat hanya memerlukan 23 kerusi Parlimen lagi untuk membentuk kerajaan.

Sudah pasti pada PRU-14, Pakatan Harapan diketuai DAP mahu mencapai keputusan lebih baik daripada itu.

Dengan senario politik pada ketika ini, mampukah Pakatan Harapan berbuat demikian?

Apakah keputusan PRU-14 nanti berbeza daripada keputusan PRU-12 pada 2008 dan PRU-13 pada 2013?

Adakah Barisan Nasional (BN) masih tetap boleh menguasai pentadbiran pusat atau kali ini rebah sekali gus Putrajaya beralih kepada pihak pembangkang?

Adakah BN dapat terus kekal menguasai Kerajaan Pusat atau diambil alih oleh Pakatan Harapan?

Sejauh manakah pula Pakatan Harapan yang terang lagi nyata diketuai DAP boleh diterima oleh pengundi secara menyeluruh?

Jika dilihat keputusan pada PRU-13, hanya PAS dan PKR mendapat sokongan Melayu namun tidak bagi DAP.

Bagaimanapun jumlah undi Melayu yang diperoleh PAS dan PKR sebenarnya tidak besar seperti diterima UMNO.

Kenapa parti politik Melayu dalam pembangkang gagal mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu pada PRU-13?

Adakah kerana pengundi sudah berpuas hati dengan calon dan dasar BN/UMNO?

Dalam banyak pertandingan antara calon UMNO dengan PKR dan PAS di kawasan majoriti pengundi Melayu, secara umumnya memang dimenangi calon UMNO.

DAP pula hanya mengusai kawasan majoriti Cina terutama di bandar dan bukan lokaliti Melayu.

Secara umumnya, pengundi Melayu masih belum boleh menerima dan masih rasa sangsi dengan matlamat sebenar DAP.

Walaupun ada orang Melayu menyokong DAP, masih sangat kecil jumlah dan bilangannya.

Apa yang lebih meluas adalah rasa sangsi terhadap DAP dan tidak yakin parti itu akan membela perjuangan Melayu serta Islam.

Perkembangan semasa yang berlaku seperti ketika pembentangan pindaan RUU 355 juga mengukuhkan lagi pegangan dan persepsi orang Melayu terhadap DAP.

Oleh sebab itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang pernah menyatakan sanggup bekerjasama sekali lagi dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika Presiden PAS itu bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia.

Hasrat Kit Siang untuk terus menjalinkan kerjasama dengan PAS tidak lain kerana dia menyedari Pakatan Harapan masih memerlukan PAS bagi mendapat undi orang Melayu pada PRU-14.

Walaupun pelawaan Kit Siang itu meletakkan DAP dilihat seolah-olah cukup terbuka sehingga bersedia menjilat ludah sendiri, namun PAS sehingga hari ini tetap tidak boleh menerimanya.

Ketegasan itu perlu kerana PAS tidak mahu terperangkap dalam helah Kit Siang yang menyaksikan DAP sanggup berbuat apa sahaja termasuk bekerjasama dengan PAS hanya untuk mendapat undi orang Melayu.

Lebih mengecewakan, selepas kemenangan dicapai, DAP menguar-uarkan kepada umum kononnya semua itu atas usaha mereka sendiri, sedangkan sebenarnya PAS yang banyak membantu.

Jadi, dengan ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan, adakah Pakatan Harapan akan menyinar dalam PRU-14?

Perkara inilah ketika ini yang sedang merungsingkan Kit Siang dan DAP iaitu cara mendapatkan undi Melayu.

Oleh sebab itu, DAP sanggup bekerjasama dengan PPBM diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad demi mendapatkan undi Melayu pada PRU-14.

Soalnya, mampukan PPBM melaksanakan tugas seperti dilaksanakan oleh PAS?

Umum pastinya mengetahui, Mahathir juga mempunyai agendanya tersendiri sama seperti Kit Siang.

Dalam masa yang sama, DAP turut mengharapkan PKR dapat mengekalkan atau menambah kemenangan yang diperoleh pada PRU-13 lalu.

Begitu juga kepada parti serpihan PAS iaitu PAN yang berkeyakinan mampu menggantikan PAS dalam politik negara.

Tarikh bilakah PRU-14 akan diadakan tidak penting. Apa yang lebih penting?

Paling penting adalah keputusan pengundi dalam menentukan parti politik manakah yang akan menerajui kerajaan Pusat dan menguasai pentadbiran di peringkat negeri.

Good luck PH!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here