Pakatan pembangkang nampaknya dilihat seperti tidak bersedia dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini. Berdasarkan kepada pemerhatian walaupun PH mengakui telah menyelesaikan isu berkaitan pembahagian kerusi, namun keputusan yang dibuat oleh pimpinan gabungan politik berkenaan mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin di peringkat akar umbi. Malah ada yang menyifatkan keputusan diambil oleh pimpinan pusat langsung tidak mempedulikan suara bawahan yang melaksanakan kerja-kerja untuk gabungan berkenaan.

Terbaru kita melihat bagaimana AMANAH di negeri Selangor bergolak apabila pengarah pilihan rayanya, Jaafar Samsuddin mengambil keputusan untuk keluar parti selepas kecewa dengan sikap kepimpinan tertinggi AMANAH yang tidak mempedulikan suara parti. AMANAH dan PH cuba memanipulasi keadaan dengan memindah-mindahkan calon dan pemimpin utama ke kawasan-kawasan tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pemimpin tempatan.

Pergolakan di dalam AMANAH ini berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan keputusan AMANAH pusat yang bakal meletakkan Presiden mereka, Mohamad Sabu di kerusi Kota Raja, sedangkan Mohamad bukanlah calon kegemaran di kerusi berkenaan dan tidak pernah mempunyai apa-apa perhubungan yang baik dengan kawasan berkenaan, memandangkan beliau dari negeri lain. Usaha untuk menempatkan calon utama di kerusi-kerusi selamat dan calon-calon tidak popular di kerusi-kerusi mudah kalah membuatkan pemimpin akar umbi AMANAH mula berani menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap parti berkenaan.

Malah berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat terhadap kebanyakan ahli-ahli parti komponen di dalam PH di peringkat bawahan merangkumi AMANAH, PKR, DAP dan PPBM, jelas berlaku masalah penyelarasan yang serius disebabkan sikap tidak mahu mendengar pandangan dan kecelaruan dalam hala tuju sebenar gabungan berkenaan. Ramai anggota parti-parti komponen PH di peringkat akar umbi berpandangan perjuangan PH hanya setakat menjatuhkan BN, namun tidak begitu pasti tentang apa perancangan sebenar yang bakal dilaksanakan jika diberikan mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

Masalah ini bukan sahaja melanda AMANAH, namun parti-parti komponen lain dalam PH, masalah ini menunggu masa sahaja untuk pecah berderai dan diketahui umum. Usaha PH yang cuba menyembunyikan kelemahan sendiri kini sedang memakan diri. Dengan hala tuju yang bercelaru dan perjuangan yang tidak tahu sampai ke mana, rakyat kini memiliki pilihan jelas untuk menolak gabungan pembangkang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here